NIK Nurul Shazelin menunjukkan gambar arwah abangnya, Nik Mohammad Ahzan (bertopi merah) yang maut dalam kemalangan. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
NIK Nurul Shazelin menunjukkan gambar arwah abangnya, Nik Mohammad Ahzan (bertopi merah) yang maut dalam kemalangan. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Ibu kepada pemandu Mufti Kelantan yang maut dalam kemalangan di Kilometer 38 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Bukit Belah, kelmarin, masih belum mengetahui kejadian menimpa anak sulungnya, Nik Mohammad Ahzan Mohd Nawi, 41.

Menurut adik arwah, Nik Nurul Shazelin Mohd Nawi, 31, ibunya, Nik Zabidah Awang, 61, terpaksa ditidurkan, kelmarin dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas lebih sebulan dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian.

Katanya, doktor terpaksa menidurkan ibunya disebabkan oksigen di dalam badannya semakin berkurangan akibat penyakit kronik, komplikasi buah pinggang, kencing manis dan juga kuman dalam paru-paru.

"Lebih menyedihkan, pada hari yang sama ibu ditidurkan, selang 11 jam kemudian kami dimaklumkan abang terbabit dalam kemalangan dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Ketika itu, hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui bagaimana perasaan kami adik beradik yang perlu berhadapan situasi sedih di mana pada masa sama memikirkan keadaan ibu yang sedang bertarung nyawa, namun kami perlu reda," katanya ketika ditemui di Kampung Pasir Kasar, di sini, hari ini.

Pemandu Mufti Kelantan, Nik Mohammad Ahzan Mohd Nawi, 41, disahkan antara dua yang maut dalam kemalangan tiga motosikal dan kereta di Kilometer 38 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Bukit Belah, kelmarin.

Jenazah arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Kasar pada 3 petang semalam dan solat jenazah diimamkan oleh Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Berita berkaitan: Wang berteraburan atas jalan, orang ramai masukkan semula dalam beg arwah - Adik

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2023 @ 12:35 PM