JENAZAH Azizan disolatkan di Surau Asy-Syakirin, Bandar Perdana, Sugai Petani, hari ini. Gambar kenangan Allahyarham Azizan dan isteri Allahyarham Che Wan Teh Abdul Aziz (gambar kecil). FOTO Norfarhani Che Ad
JENAZAH Azizan disolatkan di Surau Asy-Syakirin, Bandar Perdana, Sugai Petani, hari ini. Gambar kenangan Allahyarham Azizan dan isteri Allahyarham Che Wan Teh Abdul Aziz (gambar kecil). FOTO Norfarhani Che Ad
Nor Farhani Che Ad


JENAZAH Allahyarham Azizan Desa, 60, yang meninggal dunia, petang semalam selepas dua hari bertarung nyawa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rhaudatul Solihin, Amanjaya, Sungai Petani, 12 tengah hari tadi.

Terdahulu, jenazah dibawa ke kediaman keluarga itu di Bandar Perdana, Sungai Petani pada 3.40 pagi tadi dari Hospital Taiping sebelum disolatkan di Surau Asy-Syakirin, Bandar Perdana, pada 11 pagi.

Menurut anak sulungnya, Mohd Rohaizad, 32, berkata arwah menghembuskan nafas terakhir pada 6.45 petang semalam di sisi ahli keluarga.

Katanya, pada hari kemalangan, arwah bapanya masih sedarkan diri, namun terpaksa ditidurkan oleh doktor kerana kecederaan dalaman yang dialami.

"Kami difahamkan arwah mengalami luka pada organ hati dan pendarahan pada paru-paru. Arwah ayah meninggal akibat kecederaan parah pada organ berkenaan," katanya.

Dalam kemalangan di Kilometer 45.4 Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli dekat Gerik pada Ahad lalu, isteri Azizan, Che Wan Teh Abdul Aziz, 54, dan anak lelakinya Muhammad Khairul Khawrizmie, 17, turut maut di tempat kejadian.

Manakala, anak perempuan Azizan, Nurul Khairulnisa, 19, terselamat dan hanya mengalami luka ringan.

Jenazah dua beranak itu selamat dikebumikan di tanah perkuburan yang sama pada tengah malam Ahad.

Dalam pada itu, Mohd Rohaizad berkata, Nurul Khairulnisa masih dalam keadaan trauma akibat kemalangan terbabit.

"Dia hanya mengalami luka di bawah mata, namun masih dalam keadaan trauma dan banyak berdiam diri sejak kemalangan berlaku," katanya.

Allahyarham Azizan, yang juga peniaga nasi kandar adalah mangsa kelima yang meninggal dunia dalam nahas yang berlaku pada 1 tengah hari membabitkan Perodua Kenari, Audi dan Nissan Frontier.

Dua lagi mangsa yang maut adalah Rosli Zakaria, 54, dan anaknya yang juga orang kurang upaya (OKU) Muhamad Syafik, 22, yang menaiki Nissan Frontier.

Berita berkaitan

[UPDATE] Seorang lagi mangsa meninggal dunia

Dua beranak satu liang lahad

Pelik ibu bungkus makanan setiap hari

[UPDATE] 4 maut, 7 cedera dekat Tasik Banding

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2018 @ 2:01 PM