Mohd Amin Jalil


SESI pengajaran dan pengajaran (PdP) membabitkan murid Tahun Satu hingga Empat di semua sekolah di negeri itu berjalan lancar serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Md Fiah Md Jamin berkata, seramai 69,734 murid Tahun Satu hingga Tahun Empat membabitkan 352 buah sekolah di negeri itu memulakan sesi persekolahan hari ini.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 312 murid adalah dari empat buah sekolah yang menempatkan murid Orang Asli"

"Empat sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Putra, SK Senibai, SK Sungai Sampo dan SK Tekir.

"Setakat ini, semua urusan persekolahan murid berjalan lancar dan SOP yang ditetapkan sentiasa dipatuhi," katanya kepada media selepas melawat SK Tekir, Labu, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya berpuas hati dengan tahap kepatuhan SOP yang dilakukan pihak sekolah.

Menurutnya, walaupun ada permasalahan kecil yang disuarakan oleh kebanyakan sekolah yang telah memulakan sesi persekolahan sebelum ini berkaitan kesesakan di luar pintu pagar sekolah, namun ianya sudah dapat diatasi.

"Sekolah sudah membuat persiapan dengan teratur dan kita lihat kepatuhan terhadap SOP juga berjalan dengan baik.

"Malah, jabatan dan guru akan terus bekerjasama bagi memastikan urusan kehadiran murid berjalan lancar ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih dikuatkuasakan," katanya.

Guru Besar SK Tekir, Hisham Mohamed (kiri) memeriksa bacaan suhu badan pada  murid yang tiba ke sekolah. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Guru Besar SK Tekir, Hisham Mohamed (kiri) memeriksa bacaan suhu badan pada murid yang tiba ke sekolah. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 1:37 PM