Hans Jerald yang akan menjalani pembedahan buat kali ketiga di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur dipangku Marsiolena. Foto Rohanis Syukri
Hans Jerald yang akan menjalani pembedahan buat kali ketiga di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur dipangku Marsiolena. Foto Rohanis Syukri
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Sejak dilahirkan, kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun ini sudah melalui dua kali pembedahan apabila disahkan mengalami kecacatan injap jantung kiri.

Malah, Hans Jerald Johnboy Wong akan menjalani pembedahan buat kali ketiga di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur di sini, membabitkan kos pembedahan berjumlah RM70,000.

Bagi ibunya, Marsiolena Enna Mamat, 27, berharap dapat melihat anak keduanya itu mendapat peluang kehidupan seperti anak sulungnya, Myra Anatasha, 5, yang membesar dengan sihat.

Menurutnya, penyakit yang dihidapi anak lelakinya itu diketahui ketika masih dalam kandungan dan sebaik dilahirkan Hans Jerald terus diletakkan di bawah pemantauan doktor.

"Dua pembedahan sebelum ini berjaya menyelamatkan nyawanya, tapi keadaannya masih lemah. Dia cepat penat dan berubah kebiruan apabila banyak bergerak disebabkan kekurangan oksigen.

"Pembedahan kali ini amat penting untuk membantu anak saya menerima bekalan oksigen yang mencukupi dan tahap kesihatan lebih baik," katanya.

Namun, Marsiolena berkata, pendapatan suami Boniface Johnboy Wong, 38, yang bekerja sebagai juruteknik teknologi maklumat (IT) hanya RM2,600 dan dia sebagai suri rumah tidak dapat menampung kos pembedahan itu.

Katanya, dia perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada Hans Jerald dan anaknya itu juga bergantung dengan ubat setiap hari.

Menurutnya, dia dan suami lega apabila anaknya bakal menjalani pembedahan termasuk pembiayaan kos rawatan hasil sumbangan keprihatinan orang ramai melalui Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP.

"Kami sebagai ibu bapa sudah tentu mengharapkan Hans Jerald dapat sembuh dan hidup seperti orang lain. Kami sangat mengharapkan semoga urusan pembedahan nanti dipermudahkan," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkannya menerusi Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP (Media Prima-NSTP Humanitarian Fund) menerusi akaun Maybank bernombor 514105323170 atau melalui cek dengan menulis nama pesakit di belakang cek.

Sumbangan juga boleh dibuat melalui cek dengan menulis nama pesakit di belakang cek dan dihantar ke alamat Jabatan Komunikasi Korporat Media Prima, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Mei 2021 @ 9:00 PM