Pelanggan membeli barangan runcit dengan pembayaran menggunakan kod QR DuitNow dengan mengimbas kod QR peniaga ketika tinjauan di Taman Awani Bangi, Bangi. FOTO AIZUDDIN SAAD
Pelanggan membeli barangan runcit dengan pembayaran menggunakan kod QR DuitNow dengan mengimbas kod QR peniaga ketika tinjauan di Taman Awani Bangi, Bangi. FOTO AIZUDDIN SAAD
Sudirman Mohd Tahir


Bangi: Caj berdasarkan peratusan nilai transaksi pembayaran melalui DuitNow QR yang berkuatkuasa 1 November ini dianggap membebankan peniaga.

Tinjauan Harian Metro terhadap pengusaha di beberapa premis perniagaan di kawasan Awani Bangi, di sini, mahu perkara itu dikaji semula.

Pemilik DR Carwash & Bike Shower, Datu Rosdey Datu Omar, 32, berkata, pendapatan perniagaan mencuci kereta yang dijalankan tidak menentu.

"Perniagaan saya ini memang sepenuhnya menggunakan transaksi DuitNow QR dan tanpa tunai. Jadi, apabila bakal dikenakan caj bagi saya ia tak okay. Berapa kadar caj sekali pun, peniaga kena tanggung.

"Perniagaan 'carwash' ni pun berapa sangat. Kereta tak menentu. Ada masa tak ada langsung. Pendek kata, caj ini nanti agak membebankan. Bukan saja saya, tapi peniaga lain pun akan anggap ia tak berbaloi," katanya kepada Harian Metro.

Pengurus restoran Waja & Co, Sulkifli Mohammad Tahir berkata, pihak berkenaan perlu mengambil kira kos sara hidup yang kian meningkat pada masa kini.

"Kebanyakan harga barang asas makin meningkat. Peniaga kedai makan macam kami perlu mendapatkan bekalan hampir setiap hari. Sudah tentu kos operasi juga bertambah. Nak naikkan harga makanan tak adil pula rasanya. Sebab mereka sebagai pengguna pun terbeban dengan kenaikan kos sara hidup. Jadi, apa pilihan untuk peniaga?

"Justeru, janganlah bebankan lagi peniaga. Cukuplah dengan harga barang saja yang naik. Bagilah kami peniaga bernafas sikit. Perniagaan macam kami ni bukan setiap masa ramai orang. Jadi, harapnya ada sesuatu yang lebih baik buat peniaga," katanya.

Peniaga kedai runcit, Sahibul, 22, berkata, jumlah caj yang bakal dikenakan masih dianggap besar.

"Jumlah caj itu besar juga. Jadi akan membebankan peniaga. Tak kiralah meniaga apa sekali pun, caj itu tetap akan memberi kesan pada peniaga.

"Seharusnya cari solusi lain dahulu. Bukan terus menekan peniaga. Macam kedai ini pun, kebanyakan yang belanja di sini guna QR dan kad," katanya.

Terdahulu, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), pengendali DuitNow QR dalam kenyataan berkata, kadar diskaun pedagang (MDR) yang dicaj berdasarkan peratusan nilai transaksi pembayaran melalui DuitNow QR bukan caj baru atau tambahan yang diperkenalkan kepada peniaga.

Ia sebagai insentif galakan penggunaan ketika tempoh pengenalan pembayaran QR pada 2019, MDR sudah diketepikan.

Pada masa ini pembayaran kad debit dan kredit dikenakan MDR manakala terdapat penepian (waiver) MDR pada pembayaran QR.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2023 @ 3:00 PM