ANWAR berkata bank utama dan penyedia perkhidmatan e-dompet akan terus mengecualikan fi transaksi ke atas perniagaan mikro dan kecil. FOTO Bernama.
ANWAR berkata bank utama dan penyedia perkhidmatan e-dompet akan terus mengecualikan fi transaksi ke atas perniagaan mikro dan kecil. FOTO Bernama.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Bank utama dan penyedia perkhidmatan e-dompet yang menerima bayaran melalui DuitNow QR mengumumkan akan terus mengecualikan fi transaksi ke atas perniagaan mikro dan kecil.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu diperjelas Bank Negara Malaysia (BNM) pada Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Bilangan 2 Tahun 2023, hari ini.

"Selain itu, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) juga akan memperuntukkan sumber bagi membantu membiayai kos ditanggung oleh penyedia perkhidmatan pembayaran.

"Ia terutama bagi penyedia bukan bank yang terus menawarkan pengecualian penuh kepada perniagaan mikro dan kecil," katanya dalam kenyataan dikeluarkan selepas mesyuarat NACCOL.

Beliau turut mengulangi penekanan agenda utama Kerajaan Perpaduan dalam meringankan beban kos sara hidup sentiasa diberi perhatian serius, supaya rakyat menerima manfaat secara terus daripada setiap inisiatif dan strategi dilaksanakan.

Media sebelum ini melaporkan PayNet berkata, kadar diskaun pedagang (MDR) yang dicaj berdasarkan peratusan nilai transaksi pembayaran melalui DuitNow QR bukan caj baharu atau tambahan yang diperkenal kepada peniaga.

Sebaliknya ia insentif galakan penggunaan ketika tempoh pengenalan pada 2019 yang diketepikan dan penepian itu dilanjutkan lagi berikutan penularan wabak Covid-19.

Bagaimanapun 30 Sept lalu, BNM memaklumkan bank utama dan penyedia perkhidmatan akan mengecualikan yuran transaksi untuk perniagaan mikro dan kecil yang menerima pembayaran DuitNow QR.

Ia bermakna perniagaan mikro dan kecil akan terus menikmati transaksi kos sifar, manakala bagi pelanggan individu, penggunaan DuitNow QR untuk membuat pembayaran tidak akan dikenakan caj tambahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2023 @ 6:30 PM