Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada sidang media sempena majlis pelancaran sistem kutipan tol secara pembayaran terbuka di Plaza Tol Loke Yew, Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA). FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada sidang media sempena majlis pelancaran sistem kutipan tol secara pembayaran terbuka di Plaza Tol Loke Yew, Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA). FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Oleh Noor Hidayah Tanzizi dan Lydia Saiful


Kuala Lumpur: Kementerian Kerja Raya (KKR) berharap ada peningkatan peruntukan bagi kementerian itu dalam memberi tumpuan kepada penyelenggaraan jalan dan lebuh raya menerusi Belanjawan 2024, 13 Oktober ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sebanyak RM1.5 bilion daripada keseluruhan bajet tahun ini untuk Kementerian itu diperuntukkan untuk kerja penyelenggaraan jalan dan lebuh raya.

Bagaimanapun, peruntukan yang diperlukan adalah jauh lebih besar daripada jumlah itu sekurang-kurangnya tiga kali ganda bagi memastikan tahap kualiti jalan yang sepatutnya mengikut piawaian antarabangsa.

"KKR sudah memohon lebih daripada yang diberikan untuk tahun ini bagi (Belanjawan) 2024 yang akan di bentang pada 13 Oktober nanti. Mungkin tidak dapat 100 peratus tetapi (berharap) ada pertambahan daripada apa kita yang dapat untuk kegunaan kerja penyelenggaraan di lebuh raya.

"Kita mengetahui keperluan di lebuh raya dan banyak kerja yang tidak dapat dilaksanakan dan kami sudah membawa perkara ini kepada Menteri Kewangan (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dalam persediaan pembentangan bajet ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Pelaksanaan Sistem Kutipan Tol secara Pembayaran Terbuka (SPT) di Bangunan Pentadbiran Besraya, Plaza Tol Loke Yew (arah timur), di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi LLM Datuk Seri Jalaluddin Alias, Ketua Setiausaha(Dasar & Pembangunan) KKR dan Datuk Zahrul Hakim Abdullah.

Sementara itu, Alexander berkata, pihaknya menggalakkan orang ramai menggunakan applikasi MYJalan bagi menyalurkan maklumat untuk mengatasi pelbagai isu utama kemudahan itu yang dilancarkan pada 24 Ogos lalu.

Katanya, kerja penyelenggaraan sangat penting untuk mengelakkan kehilangan nyawa berpunca daripada lubang pada jalan yang mengakibatkan kemalangan berlaku.

"Orang ramai digalakkan guna aplikasi disediakan untuk membuat aduan bagi kita mendapatkan serta mengumpulkan data dan maklumat (untuk penyelenggaraan dibuat).

"Saya menyeru kepada semua pengguna, syarikat konsesi, pihak berkepentingan dalam lebuh raya menjayakan kempen ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2023 @ 2:43 PM