Muhamad Lokman Khairi

Teluk Intan: Kementerian Kerja Raya (KKR) bersedia berbincang dengan kementerian lain bagi mencari solusi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya khususnya di kawasan berisiko.

Usaha itu termasuk kemungkinan pemasangan Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas).

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata KKR akan melaksanakan apa juga kaedah bagi menambah tahap keselamatan pengguna jalan raya.

"Memang itu (pemasangan kamera Awas) adalah satu kaedah untuk kita mencegah kemalangan, kita boleh duduk berbincang bersama (Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Dalam Negeri).

"Ia memberi amaran kepada pemandu untuk berjaga-jaga dan jangan terlalu laju, tetapi ini belum lagi dalam perancangan kita, ada kemungkinan," katanya selepas meninjau kawasan selekoh berbahaya di FT058 Jalan Teluk Intan-Bidor, dekat sini, hari ini.

Beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.7 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan termasuk pemasangan lampu jalan di kawasan sepanjang satu kilometer (km) itu yang akan bermula Jun ini.

Mengulas mengenai Jalan Persekutuan di Perak, Nanta berkata sehingga Mei tahun ini, KKR sudah memperuntukkan sebanyak RM42,468,311.38 bagi penyelenggaraan membabitkan Jalan Persekutuan sepanjang 1,514.05 km.

ALEXANDER Nanta Linggi (dua, kanan) mendengar penerangan Jurutera Daerah Hilir Perak, Ir Sudin Hasim (tiga, kanan) ketika melakukan lawatan ke Jalan Persekutuan Daerah Hilir Perak di FT058 Jalan Tg. Medan – Teluk Intan – Ayer Hitam. FOTO BERNAMA
ALEXANDER Nanta Linggi (dua, kanan) mendengar penerangan Jurutera Daerah Hilir Perak, Ir Sudin Hasim (tiga, kanan) ketika melakukan lawatan ke Jalan Persekutuan Daerah Hilir Perak di FT058 Jalan Tg. Medan – Teluk Intan – Ayer Hitam. FOTO BERNAMA

"Peruntukan ini adalah bagi kerja-kerja penyelenggaraan rutin, turapan jalan berkala serta penyelenggaraan kecemasan," katanya.

Menurutnya, peruntukan itu juga membabitkan empat projek naik taraf yang sedang berjalan iaitu Jambatan FT001/709/40 Sungai Bogak, Kerian yang dijangka siap Jun 2025, Jambatan FT001/683/50 Sungai Air Puteh di daerah Larut, Matang dan Selama (dijangka siap Jun tahun ini), Jambatan FT071/17/300 Manjung (dijangka siap Februari 2025) dan Jambatan FT001/562/00 Sungai Kinchap, Kampar (dijangka siap Januari 2025)," katanya.

Ditanya mengenai laluan Jalan Raya Timur Barat yang menghubungkan Gerik ke Jeli, Nanta berkata KKR sudah melakukan perbincangan dan akan meluluskan peruntukan khas sebanyak RM30 juta bagi tujuan naik taraf.

"Kami merancang akan melawat di sebelah sana tapi semua itu sudah dibincangkan di peringkat kementerian akan kita bagi peruntukan khas RM30 juta untuk kerja naik taraf.

"KKR sentiasa peka dengan isu yang sering dibangkitkan pengguna dan juga Kerajaan Negeri berkenaan laluan berkenaan yang uzur kerana sudah berusia lebih 40 tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2023 @ 2:28 PM