Leeya Yasmine yang juga pembawa penyakit Talasemia bersama rakan lelakinya terpaksa berpisah selepas lelaki itu turut disahkan pembawa penyakit itu. FOTO IHSAN LEEYA YASMINE
Leeya Yasmine yang juga pembawa penyakit Talasemia bersama rakan lelakinya terpaksa berpisah selepas lelaki itu turut disahkan pembawa penyakit itu. FOTO IHSAN LEEYA YASMINE
Oleh Noor Hidayah Tanzizi


Kajang: Melupakan impian melayari bahtera perkahwinan bersama lelaki pilihan hati bukan keputusan mudah buat wanita ini yang juga pembawa penyakit Talasemia namun dia berlapang dada demi kesejahteraan hidup mereka.

Ia kerana pasangan wanita dikenali sebagai Leeya Yasmine, 27, turut disahkan sebagai pembawa penyakit itu hasil ujian saringan dilakukan di sebuah klinik swasta, bulan lalu.

Bagaimanapun Leeya Yasmine mengakui dia berlapang dada dengan keputusan saringan itu dan atas kesedaran serta nasihat keluarga, dia dan pasangan sepakat berpisah biarpun hakikat itu sukar diterima ketika ini.

Berkongsi kisahnya, Leeya Yasmine berkata, dia mengetahui dirinya pembawa Talasemia sejak berusia 18 tahun dan menjadi individu pertama dalam keluarganya yang disahkan status pembawa penyakit berkenaan.

Menurutnya, menyedari keadaan itu, rakan lelakinya yang dikenali sejak hampir tiga tahun lalu turut membuat ujian saringan penyakit berkenaan kerana mereka mahu melanjutkan hubungan ke arah yang lebih serius.

"Pada mulanya kami bercadang bertunang pada akhir tahun ini dan bernikah tahun hadapan tetapi bukan rezeki kami apabila rakan lelaki turut disahkan pembawa Talasemia.

"Sepanjang tempoh menunggu keputusan ujian itu keluar kami memang sentiasa berdoa dan mengharapkan hasil yang baik kerana dia tidak mengetahui tentang penyakit genetik itu dalam keluarganya.

"Apabila keputusan keluar, kami sedih dan perasaan bercampur baur sebab sudah membuat persediaan terutama kewangan dengan melakukan dua hingga tiga kerja untuk mencari duit kahwin," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, sebelum mengambil keputusan besar itu, dia juga mendapatkan pendapat beberapa kenalannya yang bekerja dalam bidang perubatan yang turut menasihatkannya supaya tidak meneruskan hubungan atas beberapa faktor dan risiko termasuk mengelakkan kes mendapat zuriat talasemia major.

"Antara kesan yang diberitahu adalah kepada anak yang bakal dilahirkan. Jika berkahwin dan mengandung, kandungan perlu diperiksa sama ada pembawa atau pengidap seawal kandungan berusia tiga bulan.

"Jika (anak dalam kandungan adalah) pengidap, akan ada dua pilihan sama ada digugurkan atau membuat rawatan susulan yang membabitkan kos rawatan yang mahal.

"Jadi saya ambil keputusan itu selepas berbincang dengan emak dan menilai semua risiko (kerana banyak kes sudah berlaku)," katanya menetap di Bandar Bukit Mahkota, di sini.

Katanya, mereka kini dalam proses untuk menerima takdir itu tetapi tetap menjadi rakan serta masih berhubung untuk bertanya khabar dan saling memberi sokongan untuk menerima ketentuan itu dengan reda sepenuh hati.

"Saya berkongsi kisah kami di TikTok yang mana tujuan utama untuk kesedaran masyarakat membuat pemeriksaan Talasemia dan boleh cakap masih ramai yang kurang faham serta tidak sedar kesan penyakit itu.

"Melalui perkongsian itu ramai yang sedar kepentingan ujian berkenaan dilakukan sebelum berkahwin selain ada yang tanya prosedurnya. Ramai juga yang memberi semangat dan mendoakan kami.

"Malah ada berkongsi cerita termasuk ada pasangan pembawa penyakit itu dan kini anak mereka pengidap Talasemia. Jadi saya sangat berharap lebih ramai yang cakna dan ambil tahu apa itu Talasemia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2023 @ 2:31 PM