Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu ketika sidang media pada Konvensyen Parti Amanah Negara Negeri Sembilan. FOTO AZRUL EDHAM
Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu ketika sidang media pada Konvensyen Parti Amanah Negara Negeri Sembilan. FOTO AZRUL EDHAM
Oleh Mahani Ishak


Kuala Lumpur: Isu kekurangan beras putih tempatan (BPT) ketika ini semakin reda melalui hasil tuaian padi hujung tahun oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada).

Bagaimanapun, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan, penyelesaian masalah itu sedang giat dilakukan bagi memastikan bekalan mencukupi untuk pasaran tempatan.

"Isu ini reda, cuma sekarang punca beras kita tidak mencukupi kerana tahap sara diri (SSL) negara baru 65 peratus dan masih 35 peratus lagi belum mencukupi.

"Difahamkan, Mada baru saja tuai padi, proses seterusnya menjemur, mengilang sebelum beras tersedia di dalam pasaran," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Lawatan Kerja ke Kebun Komuniti AU2 Taman Keramat di sini.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sebelum ini mendapati, kekurangan BPT dalam pasaran negara berpunca daripada pembelian panik dicetuskan sebuah video yang menyebarkan berita palsu bekalan beras jenis itu bakal kehabisan.

Selain itu, kementerian juga mengesan trend pengguna yang terpaksa beralih daripada membeli beras putih import (BPI) kepada BPT, ekoran berlaku kenaikan harga mendadak disebabkan tindakan India menghentikan eksport bahan mentah itu.

Situasi berkenaan mendorong pengguna 'menyerbu' pasar raya mahupun kedai runcit untuk membeli BPT lebih banyak daripada biasa.

Mohamad berkata, isu sekuriti makanan tidak akan berkesudahan termasuk isu ayam, telur dan mungkin selepas ini, mungkin berlaku isu kekurangan bawang.

"Masalah membabitkan makanan ini tidak akan berkesudahan dan bekalan beras masih ada gangguan.

"Misalnya, BPT sekarang ini menjadi rebutan kerana beras import mengalami kenaikan harga," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menggalakkan persatuan penduduk atau komuniti setempat untuk memohon Dana Komuniti Madani berjumlah RM1 bilion yang diperuntukkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

"Kerajaan sudah sediakan peruntukan itu, jadi kena mohon awal kerana ia boleh dimanfaatkan mulai bulan depan.

"Ia bergantung kepada kawasan Parlimen, kalau Parlimen lain tidak mohon seperti Parlimen Bukit Bintang dia tidak ada kawasan lapang, mungkin peruntukan itu boleh dimanfaatkan Parlimen lain," katanya.

Pada 25 November lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM1 bilion bagi merancakkan lagi aktiviti ekonomi di peringkat komuniti penduduk desa.

Ditanya berkaitan peruntukan di bawah KPKM, Mohamad menjelaskan, kementeriannya mempunyai peruntukan di bawah program keterjaminan makanan berjumlah RM400 juta.

"Peruntukan itu untuk tujuan umum, tetapi dana komuniti yang disebut dalam Belanjawan 2024 dikemukakan oleh kementerian Kewangan," katanya.

Dalam lawatannya, Mohamad turut menggalakkan komuniti bandar untuk membabitkan diri dalam usaha keterjaminan makanan dengan berbakti kepada tanah melalui pembukaan kebun komuniti di kawasan lapang atau belukar yang sesuai.

Katanya, tanah lapang yang berdekatan dengan kawasan perumahan boleh dimanfaatkan dengan penanaman tanaman kontan seperti cili, serai, ulam-ulaman yang sekali gus mampu memberikan manfaat kepada komuniti setempat.

"Namun, mana-mana pihak yang ingin terbabit dalam aktiviti penanaman perlu memastikan kawasan yang ingin dibangunkan sebagai kebun komuniti perlu melihat kepada kesesuaian dan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan bagi mengelakkan sebarang gangguan kepada infrastruktur sedia ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2023 @ 1:32 PM