MANGSA banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Rakan Sukan Tanah Merah, Pendang, sejak Khamis lalu. FOTO Luqman Hakim Zubir.
MANGSA banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Rakan Sukan Tanah Merah, Pendang, sejak Khamis lalu. FOTO Luqman Hakim Zubir.
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Banjir di lima daerah di Kedah bertambah buruk apabila 665 mangsa daripada 183 keluarga kini dipindahkan ke sembilan Pusat Pemindahan Sementara (PPS), setakat 5 petang hari ini.

Ia juga menyaksikan peningkatan berbanding, 567 mangsa daripada 156 keluarga pada tengah hari.

Daerah yang terjejas adalah Pendang membabitkan 278 mangsa, Kota Setar (228), Pokok Sena (25), Kubang Pasu (119) dan Baling (15).

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata, sebuah lagi PPS dibuka di Dewan Cenderawasih, Pendang pada 3 petang bagi menempatkan 61 mangsa (19 keluarga).

Katanya, selain itu PPS Dewan Rakan Sukan Tanah Merah, Pendang menempatkan 217 mangsa (48 keluarga), manakala 80 mangsa (23 keluarga) berada di PPS SK Langgar di Kota Setar.

"PPS Suka Menanti di Kota Setar menempatkan seramai 47 mangsa (18 keluarga) dan PPS SK Darul Hikmah terdapat 101 mangsa (27 keluarga)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Muaz berkata, bagi daerah Kubang Pasu, PPS SK Dewan Kampung Tradisi, Lembah Keriang menempatkan 119 mangsa (35 keluarga), manakala 25 mangsa (8 keluarga) ditempatkan di PPS Surau Kampung Permatang Limau, Pokok Sena.

"Sebanyak dua PPS dibuka di Baling iaitu di PPS SK Siong yang menempatkan tujuh mangsa dan PPS SK Tunku Putera menempatkan lapan mangsa," katanya.

Menurutnya, pihaknya masih memantau kawasan berisiko banjir di seluruh negeri terutama yang terletak berhampiran sungai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 November 2021 @ 6:14 PM