Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: "Kita bukan nak jadi popular, bukan nak jadi artis atau takut kehilangan follower FB, IG, TikTok. Terus tegas, ikhlas dan profesional dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab kita," itu kata-kata nasihat Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Beliau berkata demikian ketika berucap Sempena Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara September 2023 anjuran Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, hari ini.

Ayob Khan berkata, dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab menguatkuasa undang-undang, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mungkin akan dikritik dan ditohmah atas dakwaan tidak menjalankan tugas secara profesional atau siasatan serta tangkapan 'terpilih'.

"Sudah menjadi satu budaya di Malaysia apabila PDRM dan lain-lain agensi penguatkuasaan menjalankan siasatan dan tangkapan ke atas sesuatu pihak, kita akan dituduh dan ditohmah.

"Tindakan diambil ke atas pihak A, mereka akan mengkritik kita. Pihak B pula akan memuji kita. Sebaliknya, sekiranya tindakan diambil ke atas pihak B, pihak A akan memuji kita," katanya.

Menurutnya, sebagai agensi penguat kuasa yang terulung, PDRM tidak perlu takut, bimbang atau gusar.

"Selagi kita mengikut undang-undang, Prosedur Operasi Standard (SOP) dan ikhlas dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab kita 'without fear or favour', kita tidak perlu bimbang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2023 @ 3:16 PM