Akhbar Satar
Akhbar Satar
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Orang ramai perlu matang dalam memberikan kritikan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) disebabkan segelintir pegawai dan anggotanya 'belot' terhadap tugas mereka.

Penganalisis jenayah, Datuk Seri Akhbar Satar berkata, tugas dan tanggungjawab polis jarang mendapat pujian dalam kalangan masyarakat.

"Saya setuju dalam hal ini, kita jangan banyak mencemuh dan sepatutnya menjadi rakyat yang matang termasuk jika berdepan masalah.

"Masyarakat sepatutnya menyalurkan masalah dan rasa tidak puas hati dialami kepada pihak polis atau salur terus kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) jika perlu," katanya dihubungi hari ini.

Akhbar berkata, kredbiliti JIPS kini dalam keadaan terbaik dengan tindakan pantas diambil jabatan berkenaan tanpa ada istilah 'pilih bulu'.

"Kewujudan JIPS dalam PDRM membantu mengurang dan mengelakkan pegawai serta anggota untuk terbabit dengan kegiatan menyalahi undang-undang.

"Malah, entiti jabatan itu sendiri digeruni oleh segelintir pegawai dan anggota PDRM kerana tindakan tegas boleh diambil JIPS terhadap mereka yang melanggar peraturan.

"Tahniah saya ucapkan kepada JIPS dan Pengarahnya, Datuk Zamri Yahya kerana berani membongkar kegiatan dan aktiviti sebahagian pegawainya yang tiada integriti serta hidup mewah melebihi pendapatan," katanya.

Akhbar berpendapat, pucuk pimpinan tertinggi PDRM, termasuk pimpinan terdahulu, juga pasti tidak akan membiarkan PDRM dikuasai anasir tidak sihat.

"PDRM perlu lebih ramai pegawai kanan seperti Zamri dan Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang menjadi antara individu meningkatkan imej, masa depan serta hala tuju agensi itu.

"Kini, PDRM dilihat dalam proses memperbaiki kelemahan yang ada seperti pegawai dan anggota yang mempunyai masalah disiplin dan lain-lain," katanya.

Menurutnya, aduan berhubung kewujudan kartel dalam PDRM juga sudah diserahkan kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) untuk tindakan lanjut.

"Tindakan itu adalah adil kerana tujuan siasatan berkenaan adalah untuk meneliti permasalahan serta membersihkan nama PDRM," katanya.

Menurut beliau, orang ramai perlu menghargai peranan yang dimainkan pihak polis terutama sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Pada pandangan saya, PDRM melaksanakan kerja mereka dengan baik serta profesional bagi memastikan orang awam mematuhi arahan.

"Mungkin polis perlu melaksanakan semula program 'community policing' bagi mengeratkan hubungan dengan masyarakat sekali gus menambah kepercayaan orang ramai terhadap PDRM," katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan pesanan Zamri supaya orang ramai berlaku adil kepada PDRM dengan tidak terus mencemuh institusi ini secara keterlaluan hanya kerana segelintir kecil warganya terbabit dalam kes salah laku, salah guna kuasa dan jenayah.

Menurutnya, peranan dan fungsi setiap pegawai serta anggota PDRM adalah jelas iaitu untuk menjaga keselamatan serta keharmonian hidup masyarakat atau pelindung masyarakat sebagaimana termaktub mengikut Seksyen 3 (3) Akta Polis 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Jun 2021 @ 5:11 PM