AYOB Khan Mydin Pitchay. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
AYOB Khan Mydin Pitchay. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
Oleh Omar Ahmad


Johor Bahru: Semua pegawai dan anggota polis Kontinjen Johor perlu sentiasa meningkatkan komitmen dan berusaha membanteras jenayah habis-habisan demi keselamatan orang awam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, biarpun asas pencapaian penugasan kepolisian cemerlang berjaya dicapai pada tahun ini, namun pihak polis tidak boleh alpa.

Katanya, dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab, semua pegawai dan anggota polis seharusnya berpegang teguh kepada aspek integriti, amanah, tegas, adil dan berhemah.

"Mungkin dalam menjalankan tugas, kita ditohmah, dikritik, dikecam dan diugut. Jangan bimbang, saya bukan berada di belakang, tetapi akan sentiasa berada di hadapan. Saya tidak akan membiarkan pegawai dan anggota saya 'dibelasah'.

"Itu bukan prinsip saya, saya bertanggungjawab terhadap semua pegawai dan anak buah saya. Sebarang kelemahan dan kekhilafan anak buah saya, saya akan bertanggungjawab.

"Saya boleh bertolak-ansur dan mempertahankan tuan dan puan, tetapi dalam konteks rasuah, salah laku, bersengkongkol dengan penjenayah, dadah dan penyeliaan... tiada tolak ansur. Tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Menurutnya, pasukan polis tidak perlu bimbang dengan isu tohmahan dan kritikan pihak luar atau orang awam.

Katanya, sebagai anggota pasukan keselamatan itu, mereka perlu menjalankan tugas tugas mengikut lunas undang-undang dan ikhlas.

"Jangan bimbang, jangan gusar dan jangan 'gabra' dengan kritikan serta tohmahan. Jangan bimbang pengikut di laman sosial Facebook Kontinjen Johor menurun, atau Instagram merosot.

"Kita bukan mahu jadi artis, youtuber atau bertanding dalam Pilihan Raya. Prinsip dan pegangan kita ikhlas, amanah, tegas, adil dan berhemah.

"Ingat pesanan saya... pahala dan dosa, hidup dan mati, dunia dan akhirat. Setiap yang kita buat di dunia akan dibalas dalam kubur dan padang mashyar nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 12:29 PM