LOKMAN memeriksa treler dalam Op Khas Lebih Muatan Fasa 2. FOTO Ihsan JPJ
LOKMAN memeriksa treler dalam Op Khas Lebih Muatan Fasa 2. FOTO Ihsan JPJ
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Tiga treler membawa lebih had muatan disita dalam Op Khas Lebih Muatan Fasa 2 di Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan berhampiran Plaza Tol Simpang Pulai ke Plaza Tol Tapah, Perak, semalam.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Lokman Jamaan berkata, operasi itu dijalankan oleh Pasukan Khas Ibu Pejabat JPJ membabitkan 19 pegawai dan anggota bermula 5 pagi hingga 4.30 petang, semalam.

"Dalam operasi itu, kami memeriksa lima treler dengan empat daripadanya diambil tindakan.

"Berdasarkan pemeriksaan itu, kami menyita tiga treler masing-masing membawa muatan batu dan batu kapur yang didapati melebihi had muatan dibenarkan.

"Tindakan sita itu diambil mengikut Seksyen 80 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Lokman berkata, pihaknya juga mengeluarkan 16 notis atas pelbagai kesalahan dalam operasi itu.

"Semua kenderaan yang disita dibawa ke JPJ Cawangan Tapah untuk tindakan lanjut.

"Operasi ini dijalankan bagi tindakan penguatkuasaan terhadap kenderaan lebih muatan sekali gus meningkatkan kesedaran dalam kalangan pemandu dan pemilik kenderaan perdagangan.

"Mengikut Seksyen 80 APAD 2010 dan Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, mana-mana kenderaan perdagangan membawa lebih had muatan ke atas boleh dikenakan tindakan sita selain kesalahan lain di bawah APJ 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2024 @ 7:22 PM