Essa Abu Yamin

Batu Pahat: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Batu Pahat mematahkan cubaan menyeludup syabu bernilai RM1.33 juta di perairan Muar dekat sini, jam 5.30 pagi semalam.

Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, ia hasil rampasan syabu seberat 23 kilogram yang dibungkus dalam plastik teh Cina.

"Ketika melakukan rondaan di perairan berkenaan, kami mengesan objek dalam bungkusan plastik hitam di atas platform perangkap ikan (togok) pada jarak 12 batu nautika dari sempadan perairan negara.

"Pemeriksaan mendapati ia dadah yang dibungkus dalam plastik teh Cina," katanya pada sidang media di Ibu pejabat APMM Batu Pahat hari ini.

Menurut beliau, selain itu, pihaknya turut merampas dua paket pil ekstasi serta sembilan papan pil Eramin 5.

NURUL Hizam (tengah)  menunjukan syabu yang dirampas bernilai RM1.33 juta di perairan Muar. FOTO Essa Abu Yamin
NURUL Hizam (tengah) menunjukan syabu yang dirampas bernilai RM1.33 juta di perairan Muar. FOTO Essa Abu Yamin

"Dadah terbabit sengaja ditinggal di platform berkenaan untuk diambil pihak tertentu.

"Taktik terbabit digunakan sindiket pengedaran dadah sebelum ia diseludup ke luar negara," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Pada masa sama, sepanjang Januari ini hingga September, APMM Johor merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM7.95 juta.

"Rampasan membabitkan 123.3 kilogram syabu, 2,000 pil ekstasi dan 90 pil Eramin 5.

"Dadah terbabit dirampas di lima lokasi di perairan Muar dan Batu Pahat serta dua lokasi di perairan Johor Bahru," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 12:53 PM