FOTO Ihsan Facebook Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
FOTO Ihsan Facebook Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Mary Victoria Dass

Kota Tinggi: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberi jaminan Boustead Plantations Berhad (BPlant) akan terus dimiliki oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Menurutnya, perkara berkenaan sama ada secara langsung atau tidak langsung.

"Saya juga mengingatkan BPlant bahawa mereka adalah anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

"Maka mereka perlu melihat dan mengambil peduli golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berada dalam lingkungan sosial mereka, lebih-lebih lagi veteran yang tidak bernasib baik, hidup daif dan miskin.

"Saya percaya 42 ladang BPlant di seluruh negara boleh ambil perhatian soal ini," katanya yang hadir ke Hari Terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri di Ladang Teluk Sengat, Kota Tinggi di sini hari ini.

Beliau berkata, program anjuran BPlant itu adalah secara sederhana namun ramai tetamu hadir terdiri daripada komuniti ladang, masyarakat setempat dan pengurusan tertinggi syarikat BPlant sendiri.

Menurutnya, pihaknya amat mengalu-alukan penganjuran majlis seumpama itu kerana masyarakat perlu disedarkan akan betapa pentingnya bersilaturahim.

"Betapa pentingnya meluangkan masa, menjenguk sahabat dan taulan, serta seluruh rakyat jelata.

"Walau di mana mereka berada supaya yang jauh menjadi rapat, yang rapat menjadi akrab, dan bersama-sama dapat meraikan persahabatan, meraikan persaudaraan, meraikan setiakawan," katanya melalui perkongsian di akaun Facebook (FB) miliknya hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 12:57 AM