GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bekas pengarah syarikat beras didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas 28 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu bagi pembiayaan pembelian beras kepada sebuah bank berjumlah lebih RM8.9 juta.

Fikri Abu Bakar, 58, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Tertuduh didakwa sebagai Pengarah Fikri Rice Sdn Bhd melalui Muhammad Aizuddin Zakaria, 37, sebagai eksekutif operasi syarikat memberikan 28 invois berjumlah RM8.9 juta bagi menuntut kemudahan pembiayaan Trade Working Capital Financing Islamic untuk pembelian beras kepada ejen Agrobank Berhad.

Berdasarkan pertuduhan, invois itu bagaimanapun mengandungi pernyataan palsu sedangkan tiada pembelian beras dibuat syarikat terbabit.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Menara Wisma Maran, di sini, antara 18 November 2019 hingga 16 Januari 2020.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (2) akta sama, membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang RM10,000 atau lima kali ganda nilai terlibat, yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Fikri yang juga anak pengasas syarikat beras terkemuka itu turut berdepan 28 pertuduhan pilihan, iaitu didakwa menggunakan 28 invois palsu membabitkan jumlah serupa (RM8.9 juta) pada tempat dan tarikh sama.

Bagi pertuduhan pilihan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohammad Fadhly Mohd Zamry tidak menawarkan jaminan dengan alasan kesalahan itu tidak boleh dijamin.

"Jika mahkamah menggunakan budi bicara untuk memberikan jaminan, pendakwaan mencadangkan jaminan RM200,000 dengan seorang penjamin bagi 28 pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri sebulan sekali di Pejabat SPRM, Putrajaya dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah selain tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan sehingga kes selesai," katanya.

Peguam Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya menanggung keluarga dan menghidap diabetes.

"Semalam, anak guam saya baru sahaja keluar dari hospital kerana terdapat jangkitan tulang di ibu jari kaki, malah dia juga tidak mempunyai kewangan stabil dan tidak mampu membayar jumlah jaminan yang dicadangkan pendakwaan. Oleh itu, saya mohon jaminan RM50,000 selain tidak membantah syarat-syarat tambahan ditetapkan pendakwaan," katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan dan menetapkan 25 Mac ini untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2024 @ 4:38 PM