Nazdy Harun


Kuala Nerus: Akibat kecederaan lutut berpanjangan, bekas pesilat negara mengambil keputusan mengakhiri karier sebelum menjadikan siput gondang sebagai menu eksotik untuk mata pencariannya.

Mohd Zulfikar Ismail, 29, berkata sebelum ini dia hanya menjual siput gondang hidup kepada pelanggan, namun beralih menjadikannya sebagai hidangan sate.

Menurutnya, siput yang diperoleh di kawasan sawah padi dan paya itu mempunyai banyak khasiat khususnya bagi individu yang mengalami penyakit buasir.

"Sebelum ini, saya hanya menjual siput gondang emas hidup kepada pelanggan, namun sejak menjadikan hidupan itu sebagai hidangan eksotik, saya turut menjual siput gondang telur putih yang dibakar.

"Kalau dijual hidup-hidup mungkin ramai yang tidak tahu untuk menyediakan hidangan, namun apabila diubah kepada sate, ianya memberi peluang kepada orang ramai untuk menikmatinya," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Selain Terengganu, Mohd Zulfikar juga pernah mewakili negara dalam silat olahraga dari 2012 hingga 2015 dan turut melatih atlet sekolah-sekolah negeri Terengganu.

Zulfikar yang pernah meraih pelbagai kejuaraan bagaimanapun mengambil keputusan untuk berkecimpung dalam dunia perniagaan berasaskan siput gondang.

Menurutnya, permintaan terhadap siput gondang untuk dijadikan sate amat tinggi dan dia memperuntukkan 400 cucuk sate siput gondang emas dalam sehari.

Katanya, 200 siput gondang telur putih pula dijadikan juadah yang dibakar dan dia sendiri tidak menyangka menu yang diolah itu mendapat sambutan menggalakkan.

"Kekangan iaitu untuk mendapatkan bahan mentah kerana ianya perlu dicari di kawasan sawah pagi dan paya.

"Selain di Kuala Terengganu, saya terpaksa mencari stok hingga ke daerah Dungun dan Kemaman bagi memenuhi permintaan pelanggan," katanya.

Menurutnya, walaupun pernah ditawarkan untuk menjadi jurulatih silat, buat masa ini dia lebih selesa untuk melakukan kerja sendiri kerana pelbagai usaha sudah dilakukan untuk memperkenalkan menu eksotik itu.

Katanya, dia kini berhasrat memperluaskan menu berkenaan kerana mendapati masih belum diketengahkan oleh mana-mana individu.

"Mungkin saya seorang saja yang menjual menu ini kerana setahu saya tiada mana-mana individu menjualnya dan menjadikan siput itu sebagai hidangan.

"Siput ini mempunyai peminat tersendiri dan ramai juga yang teruja untuk pertama kali merasainya, namun isinya tidak jauh beza dengan isi-isi hidupan marin seperti kerang, kepah, lokang dan sebagainya," katanya.

Katanya, sebut sahaja siput gondang, pelbagai persepsi negatif akan diperkatakan namun ianya tidak seperti yang digembar-gemburkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 5:03 PM
Mohd Zulfikar Ismail, 29, yang juga bekas atlet silat olahraga negara sedang membakar siput gondang emas yang dijadikan satey. FOTO NAZDY HARUN
Mohd Zulfikar Ismail, 29, yang juga bekas atlet silat olahraga negara sedang membakar siput gondang emas yang dijadikan satey. FOTO NAZDY HARUN