HIDANGNA Hidangan Nasi Ayam Melekat. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
HIDANGNA Hidangan Nasi Ayam Melekat. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Muhammad Shalaby Shahbuddin


SETIAP hidangan ditampilkan bukan sahaja sedap dan berbaloi, malah nama jolokan menu tidak kurang hebatnya serta 'catchy' sehingga mudah mendapat sambutan pelanggan yang berkunjung ke Gerai Nasi Ayam di Taman Bukit, Bukit Mertajam sejak beroperasi lima tahun lalu.

Pemilik gerai, Muhammad Amar Mustafa, 29 berkata, antara menu 'panas' disediakan di gerainya adalah seperti 'nasi ayam melekat', 'sizzling meletop', 'bihun sup terangkat' dan 'laksa warisan'.

Menurutnya, semua menu itu bukan sahaja memiliki keenakannya tersendiri, malah 'jolokan' namanya membuatkan pelanggan teruja untuk singgah dan menikmatinya sama ada di kedai atau membungkusnya untuk dibawa pulang ke rumah atau tempat kerja.

"Dua menu paling hangat adalah nasi ayam melekat berharga RM4.50 dan sizzling meletop pada harga RM6.

"Kehebatan dua menu ini terbukti apabila dalam sehari, nasi ayam mencatat jualan lebih 200 pinggan, manakala sizzling pula dianggarkan lebih 60 'plate', sekali gus ia jelas mendapat tempat di hati pelanggan," katanya.

Muhammad Amar berkata, bagi memastikan semua menu istimewa itu sentiasa diminati pelanggan, dia menitikberatkan dan mengekalkan kualiti rasa, penyediaan bahan atau 'portion' dalam setiap hidangan itu berbaloi dan mengenakan harga berpatutan.

Dia berkata, walaupun menusizzling meletop itu baru sahaja diperkenalkan kepada pelanggan sejak tiga bulan lalu, ia menjadi menu kegilaan ramai apabila dihidangkan dalam keadaan panas dan kuahnya meletup-letup membuatkan pelanggan akan berasa teruja untuk menikmatinya.

"Saya hanya mempelajari cara penyediaan masakan sizzling itu melalui Google dan dibantu isteri, Zarina Wan Chik, 29.Selain itu, perlu memiliki deria rasa baik untuk memastikan setiap hidangan itu enak dan berkualiti untuk dihidangkan kepada pelanggan setiap hari.

"Selain itu, saya mengingatkan kepada semua pekerja agar perlu segera dan pantas menyediakan setiap hidangan terutama sajian sizzling itu untuk disediakan dalam keadaan 'meletop-letop' bagi menarik perhatian pelanggan," katanya.

Selain itu, minuman istimewa seperti jagung ais cincau, teh ais cincau, milo ais cincau dan bandung cincau yang dijual pada harga bermula RM1.50 hingga RM2 turut menarik perhatian ramai apabila ia dihidangkan dalam keadaan 'meleleh'.

Muhammad Amar berkata, selain menjalankan perniagaan di gerai itu, dia menjual sate, piza, menjadi pembekal ayam dan barangan basah serta menjual roti canai, kuih muih dan nasi lemak di beberapa kawasan berdekatan.

"Walaupun tidak berpendidikan tinggi, saya mempunyai perancangan untuk mengetengahkan semua menu makanan terbaik diusahakan ini ke dalam sebuah kafe yang akan dibuka tidak lama lagi di sebuah lokasi strategik.

"Menggunakan hashtag #mencari yang halal itu fardhu, #kita suka makan dan #rezeki tidak ke mana menjadi satu tagline kepada perniagaan saya ini untuk berterusan mendapat sambutan baik daripada pelanggan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2018 @ 7:35 PM