Datuk Zakaria Ahmad Zabidi.
Datuk Zakaria Ahmad Zabidi.
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Plus Malaysia Berhad (Plus) melakar kejayaan apabila merangkul Anugerah Tenaga Asean bagi kategori Bangunan Cekap Tenaga pada Asean Energy Efficiency and Conservation Best Practices Awards 2023.

Anugerah itu disampaikan kepada Ketua Pegawai Operasi Plus Datuk Zakaria Ahmad Zabidi di Pusat Konvensyen Bali Nusa Dua di Bali, Indonesia bersempena 'Asean Energy Business Forum', baru-baru ini.

Ia sebagai mengiktiraf strategi penjimatan tenaga yang dilaksanakan oleh Plus di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil (Arah Utara).

R&R itu beroperasi 24 jam sehari menggunakan tenaga elektrik secara berterusan dan menyebabkan kos penyelenggaraan yang tinggi.

Bagi mengatasi cabaran ini, Plus mengambil langkah inovatif melalui penambahan ciri mesra alam pada reka bentuk bangunan berkenaan.

Menurut Zakaria, Plus sudah tiga kali memenangi anugerah tenaga di peringkat Asean.

"Ia membolehkan Plus mengekalkan reputasi sebagai salah sebuah organisasi yang sentiasa inovatif di dalam pelaksanaan inovatif kecekapan tenaga di rantau ini.

"Anugerah 'Asean Energy Efficiency and Conservation Best Practices Awards 2023' bukan hanya mengiktiraf usaha luar biasa Plus, tetapi juga menghargai sumbangan melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif hijau lebih lestari dan cekap tenaga kepada negara serta rantau Asia secara keseluruhannya.

"Pengiktirafan itu turut menekankan peranan penting Plus dalam membentuk masa depan rantau ini melalui amalan inovatif serta amalan mementingkan pemeliharaan alam sekitar," katanya dalam kenyataan, hari ini.

R&R Dengkil (Arah Utara) dilengkapi Sistem Solar Fotovolta (PV) menjadikannya bangunan cekap tenaga.

Tiga elemen utama di R&R Dengkil (Arah Utara) adalah reka bentuk pasif dan aktif serta sistem tenaga boleh diperbaharui.

Justeru, ia memenuhi kriteria bangunan sifar tenaga ditetapkan dan pendekatan diberi perhatian yang membawa kejayaan memenangi anugerah berkenaan.

Di antara faktor yang membolehkan R&R Dengkil (Arah Utara) memenangi anugerah itu termasuklah pengurangan 'Building Energy Intensity' (BEI) sebanyak 99.5 peratus, keberkesanan kos, integrasi elemen hijau dalam reka bentuk pasif dan aktif serta dilengkapi dengan sistem tenaga boleh diperbaharui.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2023 @ 3:03 PM