Laporan awal nahas akan dimasukkan ke dalam Laporan Akhir yang dijangka selesai selewat-lewatnya Ogos 2024.
Laporan awal nahas akan dimasukkan ke dalam Laporan Akhir yang dijangka selesai selewat-lewatnya Ogos 2024.
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Keluarga Allahyarham Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, salah seorang mangsa nahas kemalangan udara Elmina menerima dengan hati terbuka semua laporan awal nahas pesawat ringan Beechcraft Premier yang diumumkan Jumaat lalu.

Bapanya, Muhamad Salleh Othman, 57, berkata dia menyerahkan segalanya kepada kerajaan terutama Kementerian Pengangkutan (MoT) untuk menjalankan siasatan lanjut.

"Kami serahkan semuanya kepada kerajaan untuk jalankan siasatan dan menerima segala keputusan siasatan.

"Kami sudah reda dengan pemergiannya dan menganggap ia sebagai suratan takdir yang telah tertulis," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Laporan Awal Nahas Kemalangan Udara Elmina yang dikeluarkan MoT melaporkan punca atau faktor penyumbang pada kemalangan udara yang membabitkan pesawat Beechraft di Bandar Elmina, Shah Alam yang berlaku pada 17 Ogos lalu akan dimasukkan ke dalam Laporan Akhir yang dijangka selesai selewat-lewatnya pada Ogos 2024.

Lampiran 13 Penyiasatan Kemalangan dan Insiden Pesawat, Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO Annexe 13) memperuntukkan tempoh 12 bulan dari kemalangan itu untuk melengkapkan dokumen berkenaan.

Laporan itu juga menyebut analisis awal rakaman CVR yang dipulihkan memberikan petunjuk kritikal untuk mendedahkan punca kemalangan, dengan tumpuan pada sistem kawalan penerbangan pesawat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2023 @ 4:24 PM