Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Laporan Awal Nahas Kemalangan Udara Elmina yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan (MoT) hari ini menyebut kedua-dua juruterbang mendapat rehat yang cukup sebelum penerbangan dan tidak mempunyai masalah perubatan serius, berdasarkan sejarah kesihatan dan pemeriksaan fizikal.

Laporan Awal itu juga menyatakan, kedua-dua juruterbang memegang sijil penerbangan yang sah daripada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Semakan Sijil Perubatan dan dokumentasi sokongan menunjukkan bahawa juruterbang tidak melaporkan sebarang kebimbangan perubatan yang ketara dan Pemeriksa Perubatan Ditetapkan (DME) yang hadir mengenal pasti tiada keadaan penting pada pemeriksaan fizikal.

Laporan juga menyebut, berdasarkan sejarah dan pemeriksaan fizikal yang ada, juruterbang tidak mempunyai keadaan perubatan yang diketahui yang boleh mendatangkan bahaya besar kepada keselamatan penerbangan.

"Berdasarkan keterangan saksi, juruterbang dilaporkan dalam keadaan baik pada malam sebelum kemalangan itu. Saksi juga berkata bahawa juruterbang berehat dengan baik sebelum penerbangan berlepas dari Langkawi," kata Laporan Awal itu.

PESAWAT Beechcraft terhempas berhampiran Elmina, Shah Alam, 17 Ogos lalu. FOTO arkib NSTP
PESAWAT Beechcraft terhempas berhampiran Elmina, Shah Alam, 17 Ogos lalu. FOTO arkib NSTP

Menurut laporan awal itu, pesawat jenis Beechcraft Premier 1 mempunyai sijil kelayakan udara yang sah dan diselenggarakan mengikut peraturan.

Pesawat itu juga mempunyai lesen dan layak untuk melakukan penerbangan mengikut peraturan sedia ada. Laporan awal itu bagaimanapun berkata, pesawat berkenaan tidak dapat diselamatkan kerana magnitud daya nyahpecutan (deceleration force) dan kebakaran selepas kemalangan.

Siasatan ke atas nahas yang mengorbankan 10 nyawa di Bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu itu dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB).

Pesawat ringan yang dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, Selangor turut mengorbankan seorang anggota Exco Pahang, Datuk Seri Johari Harun.

Berita berkaitan:

Pesawat tak dapat diselamatkan - BSKU

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2023 @ 11:46 AM