GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Putrajaya: Laporan awal siasatan pesawat terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam pada Khamis lalu akan disediakan dalam masa 30 hari dari tarikh kejadian kemalangan udara berkenaan.

Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam satu kenyataan memaklumkan siasatan teknikal berdasarkan Annex 13 - Aircraft Accident and Incident Investigation, International Civil Aviation Organisation (ICAO Annex 13), sudah dimulakan oleh pasukan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) bermula tarikh kejadian kemalangan udara terbabit.

"Tujuan utama penyiasatan dilaksanakan untuk menentukan hal keadaan dan punca kemalangan, dengan tujuan untuk menyelamatkan nyawa dan mengelakkan berlaku kemalangan yang sama di masa hadapan," menurut kenyataan kementerian itu.

Kenyataan MOT itu memaklumkan penyiasatan yang dilaksanakan tidak bertujuan untuk membuktikan kesalahan atau liabiliti.

Oleh yang demikian, MOT memohon bantuan orang awam atau mana-mana pihak yang mempunyai sebarang bentuk rakaman video atau gambar yang relevan, untuk tampil mengemukakan bahan berkenaan kepada BSKU bagi membantu kerja-kerja siasatan insiden tersebut.

Bahan-bahan berkenaan boleh dihantar melalui emel [email protected] atau hubungi talian khas BSKU 03-8892 1235 (Leftenan Kolonel Juma'in Saadon).

MOT juga memohon kerjasama orang awam yang berada berdekatan tempat kejadian dan menyaksikan kemalangan tersebut, untuk berhubung dengan BSKU melalui e-mel ataupun talian tersebut bagi membantu siasatan.

Sementara itu, MOT merayu kepada orang awam untuk tidak menyebarluaskan imej dan video mangsa yang terkorban dalam kemalangan udara tersebut.

Menurut kenyataan itu, perbuatan sedemikian akan menimbulkan kekeliruan dan spekulasi yang bukan sahaja mengganggu siasatan kemalangan udara, tetapi menyinggung perasaan keluarga waris mangsa.

Dalam kejadian pada 2.48 petang itu, sebuah pesawat Beechcraft 390 Premier 1 yang membawa lapan penumpang dan kru terhempas di kawasan Elmina.

Semua yang berada dalam pesawat tersebut terkorban, manakala dua orang awam turut terkorban iaitu seorang penghantar makanan yang menunggang motosikal dan seorang pemandu e-hailing.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2023 @ 11:09 AM