LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Kerja penyelenggaraan jalan raya dan pembinaan jambatan akibat tanah runtuh yang menjejaskan perhubungan penduduk hingga hampir terputus bekalan makanan di Nabawan sejak awal bulan ini akan dilaksanakan tidak lama lagi.

Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah meluluskan peruntukan kecemasan untuk melaksanakan kerja berkenaan selepas beliau mengemukakan laporan mengenai kejadian itu pada 14 September lalu.

Katanya, laporan itu merangkumi kerosakan akibat bencana alam dan anggaran kos pembaikan yang diperlukan bagi memastikan laluan perhubungan penduduk dapat dipulihkan segera.

"Setelah Pejabat Daerah Nabawan siap mengumpulkan laporan kerosakan akibat bencana alam itu, saya berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 14 September lalu bagi membentangkan laporan itu.

"Hasil daripada pertemuan itu serta keprihatinan Perdana Menteri, beliau bersetuju untuk meluluskan peruntukan kecemasan bagi pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan jalan dan membina baharu jambatan yang putus," katanya dalam kenyataan, di sini.

Beliau mengulas laporan media semalam mengenai kira-kira 300 penduduk Kampung Salinatan di Pensiangan, Nabawan hampir terputus bekalan makanan disebabkan laluan perhubungan yang terputus akibat tanah runtuh yang berlaku pada 5 September lalu.

Nasib penduduk terbabit mendapat perhatian badan bukan kerajaan (NGO) Forces Of Love (FOL) yang mengambil inisiatif menghantar bekalan makanan melalui sungai selepas menerima laporan mengenai keadaan penduduk.

Arthur yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata beliau sendiri menerima aduan mengenai bencana alam itu daripada penduduk Kampung Salinatan, Pensiangan pada 5 September lalu.

"Saya mengambil tindakan segera dengan mengarahkan Pegawai Daerah Nabawan untuk turun ke lokasi bersama pasukan teknikal bagi meninjau situasi semasa di samping menyediakan laporan kerosakan dan anggaran kos yang diperlukan untuk kerja pembaikan.

"Hasil daripada tinjauan Pegawai Daerah Nabawan, mendapati berlaku kerosakan di Jalan Panabaan-Pensiangan yang berpunca daripada bencana alam akibat hujan lebat mengakibatkan tanah runtuh di beberapa lokasi menyebabkan jalan utama tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan," katanya.

Beliau berkata, Pejabat Daerah Nabawan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Nabawan sudah melaksanakan penyelenggaraan awal dengan serta-merta bagi memulihkan jalan perhubungan penduduk.

Katanya, beliau sentiasa memantau situasi di kawasan kejadian dan sudah mencadangkan kepada Pejabat Daerah Nabawan agar lokasi sekitar kejadian bencana diisytiharkan sebagai kawasan bencana supaya Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dapat menghulurkan bantuan segera.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2023 @ 9:10 AM