GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyambut baik pertimbangan kerajaan atas beberapa cadangan yang dikemukakan, terutamanya dalam menangani isu perlindungan sosial yang sudah diketengahkan sejak beberapa tahun ini.

Ketua Pegawai KWSP Alizakri Alias berkata, pandemik Covid-19 sudah membawa cabaran tidak terduga dan sangat berat terutamanya kepada golongan yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan.

Katanya, awal tahun ini, KWSP sudah mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan masalah ahli dengan memperkenalkan kemudahan Pengeluaran i-Lestari dengan harapan ia dapat meredakan sedikit masalah aliran tunai mereka.

"KWSP juga membenarkan ahli mengurangkan kadar caruman syer pekerja secara sukarela daripada 11 peratus kepada tujuh peratus untuk tempoh April 2020 hingga Disember 2020.

"Selain itu, kami juga menghulurkan bantuan kepada majikan yang terjejas dengan memperkenalkan Program Bantuan Majikan Covid-19 (e-CAP), yang membolehkan majikan yang layak memohon untuk menangguh dan menstruktur semula caruman syer majikan KWSP.

"Namun, kemunculan gelombang baharu kes Covid-19 telah mengakibatkan proses pemulihan ekonomi yang tidak menentu sehingga menyebabkan sebilangan ahli kami kembali berdepan dengan masalah kewangan.

"Kami juga bimbang bantuan yang sedia ada mungkin tidak akan dapat bertahan lama terutamanya bagi mereka yang memerlukan lebih banyak

aliran tunai untuk menyara diri dan keluarga," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kebenaran untuk ahli mengakses simpanan persaraan KWSP mereka selain daripada yang diperuntukkan di bawah Akta KWSP 1991 adalah sesuatu yang belum pernah berlaku atau dilaksanakan sebelum ini.

Beliau berkata, simpanan dalam Akaun 1 (70 peratus dari simpanan) sudah ditetapkan untuk persaraan ahli manakala simpanan dalam Akaun 2 (30 peratus dari simpanan) pula diperuntukkan bagi pengeluaran tertentu sahaja.

Oleh demikian, keputusan ini bukanlah sesuatu yang mudah dan boleh dibuat dengan tergesa-gesa.

"Namun, kami telah menemui jalan tengah untuk membolehkan ahli mengakses simpanan mereka tanpa menjejaskan persaraan mereka pada masa hadapan.

"Kemudahan pengeluaran tambahan ini adalah sangat khusus dan disasarkan kepada ahli yang benar-benar memerlukan bantuan wang tunai.

"Kemudahan ini adalah untuk jangka pendek dan diberikan sekali seumur hidup untuk membantu meringankan beban kewangan golongan yang paling rentan dan tidak dilindungi, serta pada masa yang sama, mengekalkan mandat KWSP untuk melindungi simpanan persaraan ahli," katanya.

Beliau berkata, permohonan penambahan kemudahan pengeluaran bersasar ini akan bermula pada Januari 2021 manakala perincian

lebih lanjut mengenainya akan diumumkan selewat-lewatnya pada 11 November 2020.

KWSP juga sedang mempertimbangkan untuk membenarkan ahli membuat pengeluaran dari Akaun 2 untuk mendapatkan produk insurans dan takaful yang merangkumi insurans nyawa keluarga dan penyakit kritikal daripada syarikat insurans dan takaful yang diluluskan.

Produk ini akan disediakan melalui i-Akaun, yang akan disesuaikan untuk ahli KWSP dengan harga premium yang berpatutan dan dilengkapi dengan ciri-ciri tambahan.

Selain itu, KWSP juga menyambut baik keputusan kerajaan berkenaan penurunan kadar caruman minimum syer pekerja kepada sembilan peratus, mulai Januari 2021 hingga Disember 2021, yang mengambil kira tekanan ekonomi dan juga pengurangan pendapatan ahli.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2020 @ 9:51 PM