Pegawai Penyelidik Bahagian Hasilan Semula Jadi, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Dr Fadzureena Jamaludin ketika ditemu bual Bernama, baru-baru ini. FOTO BERNAMA
Pegawai Penyelidik Bahagian Hasilan Semula Jadi, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Dr Fadzureena Jamaludin ketika ditemu bual Bernama, baru-baru ini. FOTO BERNAMA

Kuala Lumpur: Usaha mendokumentasikan pengetahuan tradisi berkaitan tumbuhan ubatan dalam kalangan masyarakat Orang Asli dan Melayu menjadi antara usaha utama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (Frim) agar legasi itu tidak pupus ditelan zaman.

Pegawai Penyelidik Bahagian Hasilan Semula Jadi Frim Dr Fadzureena Jamaludin berkata, usaha itu penting berikutan ilmu pengetahuan dan amalan turun-temurun berkaitan tumbuhan ubatan lazimnya disampaikan secara lisan yang memerlukan proses pendokumentasian sempurna.

"Setakat ini, Frim telah merekodkan sejumlah 677 spesies tumbuhan ubatan termasuk 2,452 herbarium spesimen hasil dokumentasi pengetahuan tradisi daripada 18 subetnik Orang Asli di Semenanjung Malaysia yang telah dilaksanakan bermula pada 2007 sehingga kini. Daripada jumlah itu, sebanyak 100 spesies telah dibukukan.

"Kami juga sudah merekodkan 634 spesies tumbuhan ubatan termasuk 2,144 herbarium spesimen hasil pendokumentasian daripada 358 pengamal perubatan tradisional Melayu di Semenanjung Malaysia sejak ia mula dilaksanakan pada 2013," katanya kepada Bernama di Frim di sini.

Beliau berkata Frim juga telah melaksanakan perbincangan awal bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Tok Batin di Kampung Orang Asli yang terlibat bagi menjayakan proses pendokumentasian.

Proses pendokumentasian tumbuhan ubatan dilaksanakan menerusi simpanan herbarium spesimen (sampel tumbuhan kering yang dikepilkan bersama maklumat) dan terbitan buku yang memperincikan ciri tumbuhan, aplikasi, nama saintifik dan suku kaum Orang Asli yang mengamalkan penggunaan tumbuhan itu.

Dr Fadzureena berkata tumbuhan ubatan yang diperoleh turut dibawa ke makmal untuk menjalani ujian penilaian dan pengesahan bagi mengenal pasti manfaatnya dalam bidang perubatan, sebelum ia diproses menjadi prototaip produk ke arah usaha komersialisasi.

"Frim menyasarkan untuk komersialkan produk berasas tumbuhan ubatan ini bagi meningkatkan tahap ekonomi Orang Asli dan memperkasakan ilmu perubatan tempatan. Kami mahu wujudkan platform iaitu Orang Asli menerima faedah secara adil dan saksama hasil perkongsian ilmu ini.

"Buat masa ini, kami sudah merangka draf perjanjian ABS (Access and benefit-sharing) berdasarkan Akta 795 (Akta Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah 2017) ke arah merealisasikan usaha ini. Kami masih dalam proses perbincangan bersama pihak Orang Asli dan Kerajaan Negeri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2023 @ 7:10 AM