TENGKU Zulpuri Shah (tengah), Azizah (dua dari kanan) dan Dr Latif (dua dari kiri) melawat gerai pameran.
TENGKU Zulpuri Shah (tengah), Azizah (dua dari kanan) dan Dr Latif (dua dari kiri) melawat gerai pameran.
Mohamad Hussin

Dianggarkan terdapat lebih 15,000 spesies tumbuh-tumbuhan di negara ini dan 2,000 daripadanya dilaporkan mempunyai nilai perubatan yang masih belum diterokai sepenuhnya untuk potensi ubatan serta nilai komersial.

Namun hanya satu hingga tiga peratus yang digunakan untuk penjagaan kesihatan dan dijual di dalam bentuk produk tradisional.

Setiap tumbuhan ini berpotensi dibangunkan, dipelbagaikan kegunaan dan dibuat produk bernilai tinggi yang berkesan, selamat serta berkualiti.

Malaysia mempunyai potensi yang tinggi untuk mengeluarkan produk kesihatan (nutraseutikal), ubatan moden (farmaseutikal) dan produk kosmeseutikal terjamin kualitinya disokong maklumat saintifik serta bertaraf antarabangsa.

Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, kementeriannya menggubal Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (DKBK) 2016-2025 yang menggariskan lima matlamat utama.

Beliau berkata, ia merangkumi pemerkasaan pihak berkepentingan; mengurangkan tekanan ke atas biodiversiti; melindungi ekosistem, spesies dan kepelbagaian genetik; memastikan faedah daripada penggunaan biodiversiti dikongsi secara adil dan saksama serta membangunkan keupayaan semua pihak yang berkepentingan.

“Ia bagi menyokong keperluan DKBK dalam meningkatkan kualiti dan kuantiti penyelidikan serta mewujudkan pangkalan data selain program pemantauan yang komprehensif.

“Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) melalui Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) sentiasa memberi fokus kepada aspek penyelidikan, pembangunan, pengkormersialan dan inovasi (R,D,C&I) sumber biodiversiti negara ini.

“FRIM membangunkan kepakaran untuk mengenal pasti, menghasilkan bukti saintifik dan formulasi serta mendokumentasi sumber semula jadi dari hutan di Malaysia ke arah penghasilan ramuan aktif dan produk yang dapat dikomersialkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Tumbuhan Ubatan dan Beraroma ke-15 (MAPS15) di FRIM, Kepong, baru-baru ini. Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Air dan Pembetungan) KATS Azizah Ariffin dan Ketua Pengarah FRIM Datuk Dr Abd Latif Mohmod.

Seminar yang bertemakan Merungkai Khazanah dan Rahsia Alam Semula Jadi: Spesies Pilihan Semasa membabitkan lebih 200 peserta termasuk 23 pembentangan oral dan 53 pembentangan poster terdiri daripada usahawan herba, penyelidik, ahli akademik, wakil agensi serta penggubal polisi.

Tengku Zulpuri Shah berkata, FRIM juga mempunyai Pusat Pensahihan Bahan Mentah Herba yang menawarkan perkhidmatan teknikal kepada industri dan pengumpulan maklumat industri herba melalui lawan sesawang HerbaXpress.

TENGKU Zulpuri Shah melancarkan buku terbitan FRIM bertajuk ‘Medicinal Forest Species in FRIM’.
TENGKU Zulpuri Shah melancarkan buku terbitan FRIM bertajuk ‘Medicinal Forest Species in FRIM’.

“Ia juga antara salah satu peranan FRIM dalam membantu industri herba untuk menjamin kualiti, keselamatan dan keberkesanan bahan mentah serta produk herba.

“Usaha ini dapat memberi sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia selaras dengan matlamat utama kerajaan menyasarkan sumbangan industri herba kepada pendapatan kasar negara sebanyak RM2.2 bilion menjelang 2020 di samping menyediakan 2,000 peluang pekerjaan.

“Saya percaya melalui seminar ini, lebih banyak kajian penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang terkini berkenaan tumbuhan ubatan. Hasil semula jadi juga akan diketengahkan dan dikongsi bersama peserta serta memberi manfaat kepada rakyat Malaysia atau manusia sejagat,” katanya.

Sementara itu, Dr Abd Latif berkata, kajian yang dijalankan di FRIM merangkumi peringkat huluan dan hiliran. Penyelidik FRIM umpamanya membuktikan tongkat ali yang dihasilkan daripada kaedah pengekstrakan khas boleh membunuh sel barah ovari dan kini sedang dalam proses pengiktirafan paten.

“Kajian berkenaan masih perlu dilengkapkan di peringkat pra-klinikal dan klinikal jika ingin diguna serta dipasarkan sebagai ubatan antibarah.

“Bagi kacip fatimah pula usaha untuk menghasilkan klon elit (dari segi pertumbuhan dan penghasilan bahan bio-aktif) juga menampakkan hasil yang positif.

“Ketum juga antara spesies yang perlu diberi perhatian. Penggunaan ketum untuk tujuan yang salah (khayal) menyebabkan spesies ini tersenarai di bawah Akta Racun 1952 dan dicadangkan pindaan Rang Undang-Undang Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan penyenaraian daun ketum sebagai dadah berbahaya,” katanya.

Bagaimanapun, katanya secara tradisi, ketum digunakan untuk mengatasi masalah keletihan dan meningkatkan produktiviti kerja. Oleh itu, kajian dan penyelidikan yang menyeluruh sangat diperlukan supaya kegunaan spesies ketum dapat dimanfaat sepenuhnya.

“Ini akan memerlukan sokongan kerajaan terutama KATS dalam pemberian dana dan keizinan untuk meningkatkan penyelidikan ketum dan herba lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Oktober 2018 @ 12:09 PM