PENGARAH KPDN Melaka Norena Jaafar menunjukkan pam yang dirampas dalam serbuan di sebuah gudang di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai. FOTO Nuraliawati
PENGARAH KPDN Melaka Norena Jaafar menunjukkan pam yang dirampas dalam serbuan di sebuah gudang di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai. FOTO Nuraliawati
Nuraliawati Sabri


Melaka: Seorang warga emas dan menantunya ditahan buat kali kedua selepas dipercayai terbabit dalam aktiviti penyelewengan diesel di sebuah gudang di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai, di sini, semalam.

Kedua-dua lelaki terbabit antara lima lelaki yang ditahan polis dalam serbuan pada jam 8.30 malam.

Difahamkan, lelaki berusia 60-an dan menantunya berumur 34 tahun itu sebelum ini pernah ditahan dalam serbuan di Johor, tahun lalu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka Norena Jaafar berkata, dalam serbuan itu, sejumlah 26,000 diesel yang disyaki untuk dijual di pasaran gelap berjaya dirampas.

Beliau berkata, serbuan diketuai Pegawai Turus Risik Briged Tengah Pasukan Gerakan Am Asisten Superintendan Sohaimi Hasim itu hasil maklumat dan risikan.

"Ketika serbuan dilakukan, terdapat lima lelaki termasuk seorang warga Bangladesh di dalam gudang itu. Kesemua mereka dianggarkan berusia antara 25 hingga 60 tahun.

"Hasil pemeriksaan lanjut ke dalam gudang itu, sebuah lori tangki berisi 23,000 liter diesel serta sebuah tangki yang di dalamnya mengandungi 3,000 liter diesel dianggarkan berjumlah hampir RM90,000 ditemui," katanya pada sidang media di gudang terbabit, hari ini.

Menurutnya, kesemua diesel itu dipercayai dibeli oleh anggota kumpulan itu di stesen minyak di sekitar Melaka sebelum membuat pengumpulan di gudang terbabit sebelum dijual di pasaran gelap.

"Mereka dikatakan membeli diesel dengan jumlah maksimum dibenarkan sekitar RM500 di setiap stesen minyak menggunakan lori tiga tan yang diubah suai sebelum memindahkan ke lori tangki.

"Diesel ini kemudian dijual di pasaran gelap iaitu untuk kegunaan kilang dengan harga yang lebih rendah. Malah ketika serbuan semalam juga, lori tangki itu berjaya dihalang sebelum ia bergerak untuk menghantar diesel," katanya.

Norena berkata, pemeriksaan lanjut di premis itu turut menemui invois dipercayai digunakan sebagai resit jualan kepada pihak yang membeli diesel secara haram dan pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan mereka.

"Sekiranya benar mereka ini terbabit dengan membeli diesel yang diseleweng, tindakan juga boleh dikenakan kepada mereka.

"Selain itu, turut dirampas sejumlah wang tunai berjumlah RM49,000, sebuah lori tiga tan, lori tangki, sebuah pam dan kereta yang kesemuanya dianggarkan berjumlah hampir RM400,000," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

- tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2023 @ 3:52 PM