Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Isi diesel subsidi antara RM300 hingga RM500 di beberapa stesen minyak sekitar Melaka, bayar diesel guna kad kredit selain mengupah geng tonto.

Itu modus operandi sindiket penyeludupan diesel subsidi bagi melindungi kegiatan haram mereka daripada dihidu pihak berkuasa.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar berkata, taktik licik sindiket itu bagaimanapun terbongkar hasil maklumat awam, pemeriksaan berkala dan risikan pihaknya.

Beliau berkata, pihaknya menyerbu premis dijadikan stor haram penyimpanan diesel subsidi disyaki untuk diseleweng di kawasan Perindustrian Krubong di sini, jam 7 malam tadi.

"Hasil serbuan itu, kami menemui kira-kira 10,000 liter minyak diesel di dalam tangki tambahan lori serta tangki minyak.

"Selain itu, 18 tangki tambahan, dua motosikal serta paip penyambung keseluruhannya dianggarkan bernilai RM135,000 turut disita dan dibawa ke stor KPDNHEP," katanya.

Norena Jaafar (depan) bersama pegawainya memeriksa lori digunakan sindiket di kawasan Perindustrian Krubong hari ini. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Norena Jaafar (depan) bersama pegawainya memeriksa lori digunakan sindiket di kawasan Perindustrian Krubong hari ini. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad

Norena berkata, semasa serbuan, dua lelaki sempat melarikan diri dengan memanjat tembok dan meloloskan diri di sekitar semak samun berhampiran stor itu.

"Ketika serbuan, mereka sedang memindahkan diesel ke tangki besar daripada sebuah lori.

"KPDNHEP Melaka memandang serius kegiatan penyeludupan dan diesel ini disyaki mahu diseleweng bagi pasaran industri di seluruh negara.

"Diesel industri ini berharga RM4.20 hingga RM4.30 seliter. Sindiket masih mampu mengaut keuntungan besar walaupun ia dijual di pasaran gelap pada harga RM4 seliter," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, sindiket membuat isian penuh diesel subsidi di stesen minyak di tiga daerah di Jasin, Alor Gajah dan Melaka Tengah sebelum kembali ke stor penyimpanan.

"Sindiket juga membayar menggunakan kad kredit atau debit. Jadi mereka tidak perlu berjumpa pekerja di kaunter," katanya.

Beliau berkata, sindiket juga menggunakan tonto bagi mengekori pihaknya ketika operasi berkenaan dan membuat helah dengan melalui jalan berlainan untuk ke stor haram itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2022 @ 4:19 PM