ORANG ramai termasuk ahli keluarga  menunggu jenazah mangsa, Zakaria Jusoh, 71 yang dipercayai mangsa langgar lari di tepi Jalan Gua Musang-Kuala Krai. FOTO Ramli Ibrahim
ORANG ramai termasuk ahli keluarga menunggu jenazah mangsa, Zakaria Jusoh, 71 yang dipercayai mangsa langgar lari di tepi Jalan Gua Musang-Kuala Krai. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


PENEROKA Felda Chiku 1 ditemui mati di tepi jalan di Kilometer 42, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat Gua Musang, pagi hari ini, dipercayai mangsa langgar lari.

Mayat Zakaria Jusoh, 71, ditemui anak peneroka Felda Chiku 1, 6.30 pagi di sebelah kiri jalan berhampiran jambatan di Felda Chiku 3.

Anak mangsa, Mohd Tarmizi Zakaria, 29, berkata, bapanya dipercayai keluar rumah pada 2 pagi ketika dia sedang tidur dan hanya menyedari kehilangan arwah pada 3 pagi sebaik tersedar dari tidur.

Mohd Tarmizi berkata, bapanya itu kerap keluar rumah dan susah untuk pulang semula ke rumah kerana lupa jalan balik disebabkan masalah sakit mental yang dihidapinya.

Katanya, dia dimaklumkan jenazah bapanya ditemui oleh seorang anak peneroka Felda Chiku 1 dan bergegas ke lokasi.

“Saya tiba di lokasi 10 minit kemudian dan mendapati bapa sudah meninggal dunia dalam keadaan terlentang tetapi tiada kecederaan pada badan arwah,” katanya.

Anak sulung arwah, Alawiyah, 44, pula berkata, arwah ayahnya suka mengira jumlah kubur penduduk yang meninggal dunia sejak kebelakangan ini.

Katanya, selepas mengira batu nisan, arwah memberitahu jumlah mereka yang sudah meninggal dunia dan dikebumikan di tanah perkuburan itu, semakin ramai.

Alawiyah berkata, sebelum ini dia yang mengawasi pergerakan ayah termasuk memastikan arwah makan ubat kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Taufik Maidin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Beliau berkata, hasil siasatan awal kejadian itu dipercayai peneroka adalah mangsa langgar lari dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga untuk dikebumikan petang ini.

Kes itu disiasat dibawah Sek.41(1) APJ.1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 November 2018 @ 2:20 PM