BERNAMA

Kuala Lumpur: Datuk Seri Azalina Othman Said kembali mempengerusikan Persidangan Dewan Rakyat semasa sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja petang ini buat sementara.

Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, beliau diminta oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun untuk berbuat demikian mengikut Perkara 7 (3) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Kemunculan semula Azalina di kerusi pengerusi mesyuarat itu menimbulkan tanda tanya beberapa Ahli Parlimen, antaranya Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang ingin tahu sama ada penggantian sementara itu mengikut prosedur yang betul.

"Saya terperanjat sebab tadi Yang Berhormat (Azalina) sebagai Backbenchers kerajaan tetapi sekarang mempengerusikan mesyuarat ini.

"Saya tiada masalah Pengerang (Azalina) untuk mempengerusikan (mesyuarat) tetapi prosedurnya adakah ia betul sedangkan kita sedang bermesyuarat bincang Titah Diraja dan tiada pemakluman daripada Yang Dipertua tentang penggantian," katanya.

Perkara sama dibangkitkan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) yang berkata kekosongan jawatan Timbalan Yang Dipertua perlu diisi secepat mungkin.

"Saya kecewa YB Pengerang letak jawatan sebab YB layak menjadi Timbalan Speaker, malah Speaker juga tetapi keputusan sudah dibuat YB letak jawatan… kekosongan itu perlu diisi secepat mungkin," katanya.

Bagaimanapun, Azalina sekali lagi menjelaskan ia berdasarkan Peraturan Mesyuarat 7 (3) dan beliau menambah : "Dia (situasi penggantian sementara) macam mutaah, sekejap saja… jadi Isnin ke Selasa ke mungkin orang lain, YB Bayan Baru ke, Pasir Gudang, saya akan maklumkan pada Speaker tapi kuasa di bawah 7(3)".

Azalina meletakkan jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 23 Ogos.

Terdahulu, beliau mengambil bahagian sebagai pembahas pertama hari ini pada sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat.

Sementara itu, Timbalan yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon dalam kenyataan ringkas menjelaskan Peraturan Mesyuarat 7 (3) itu.

Ia menerangkan bahawa : "Pada bila-bila masa mesyuarat bersidang, Tuan Yang di-Pertua boleh meminta seseorang ahli mempengerusikan mesyuarat itu bagi sementara dengan tidak payah diberitahu Majlis Mesyuarat dengan secaranya dan ahli yang mempengerusikan ini tetap terserah kepadanya semua kuasa-kuasa Tuan Yang di-Pertua sehingga Tuan Yang di-Pertua balik semula mengetuai mesyuarat."

Dalam persidangan semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat ditangguhkan ke persidangan akan datang yang dijadual bulan hadapan.

Menurut Wan Junaidi, usul perkara itu pada asalnya disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat kali ini tetapi ditangguhkan bagi membolehkan pindaan Perkara 57 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan dibuat untuk menambah jumlah Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat daripada dua kepada tiga orang.

Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said mempengerusikan sidang Dewan Rakyat sesi petang ini untuk sementara mengikut Peraturan Mesyuarat 7(3), pada Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said mempengerusikan sidang Dewan Rakyat sesi petang ini untuk sementara mengikut Peraturan Mesyuarat 7(3), pada Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 5:53 PM