DOMINIC Lau (tiga kiri) bersama barisan jawatankuasa pusat Gerakan baharu. FOTO Mary Victoria Dass
DOMINIC Lau (tiga kiri) bersama barisan jawatankuasa pusat Gerakan baharu. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) akan membuat penilaian lebih awal bagi mengenalpasti kerusi tumpuan yang berpotensi untuk ditandingi dan menang di seluruh negara pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) mahupun Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, pihaknya melantik ahli jawatankuasa pusat baharu bertujuan menggerakkan usaha itu dalam tempoh masa terdekat.

Beliau berkata, pada masa sama, pihaknya juga melantik pengerusi bagi beberapa biro yang diwujudkan termasuk biro hak kemanusiaan dan biro pengaduan awam bagi meningkatkan keterlibatan dengan masyarakat berbilang bangsa.

"Kita juga mewujudkan task force untuk War Room bagi menjalankan post-mortem keputusan pada PRU dan PRN sebelum ini.

"Ia sebagai persiapan bagi menghadapi PRU-16 dan PRN termasuk dijangkakan di Sabah pada tahun depan.

"Kita akan fokus kerusi tertentu, mungkin kerusi yang parti lain menang dengan majoriti tipis selain mengambil kira kekuatan jentera serta pemimpin yang berpengaruh di sesebuah kawasan.

"Persiapan akan dimulakan lebih awal dan kita juga bertumpu kepada hanya sesebuah kerusi di parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) memandangkan sumber kami terhad setakat ini," katanya pada sidang media pengumuman ahli jawatankuasa pusat dan hala tuju Gerakan di Taman Jaya di Skudai di sini, hari ini.

Dominic berkata, bagi calon sebelum ini, ia adalah antara cabaran utama yang dihadapi hingga dilihat sebagai kekangan walaupun berpotensi.

Beliau berkata, bagi tujuan itu, pihaknya akan mewujudkan tabung bagi mengumpul dana demi membantu calon bertanding.

Menurutnya, pihaknya juga akan meneruskan jalinan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) selain terus mendekati pelbagai lapisan masyarakat.

Katanya, pihaknya mendapati sokongan bukan Islam termasuk masyarakat Cina kepada PN juga semakin meningkat.

"Walaupun Pakatan Harapan (PH) cuba 'brain wash' masyarakat bukan Islam berkaitan larangan tertentu namun ia tidak benar dan jelas di beberapa negeri seperti di Kelantan dan Terengganu, larangan dikatakan itu tidak wujud bagi bukan Islam.

"Bagi PN, selain membenarkan hak sebagai Islam, mereka juga menjaga kepentingan orang bukan Islam.

"Pada penghayatan kami, masyarakat bukan Islam termasuk berbangsa Cina menyokong PN dan memahami konsep kesederhanaan dan menghormati pendekatan keagamaan masing-masing oleh PN.

"Gerakan bersama-sama dengan parti komponen-komponen parti dalam PN terus memastikan kebajikan rakyat dan pembangunan sosio ekonomi akan diutamakan," katanya.

Dominic berkata, Gerakan yang memiliki 300,000 ahli di seluruh negara juga berharap semua ahli memberi sokongan kepada PN pada PRU atau PRN akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2023 @ 4:22 PM