TANGKAP layar video tular.
TANGKAP layar video tular.
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: "Kakitangan wanita saya berusia 23 tahun yang bertindak menyelamatkan kanak-kanak perempuan itu dengan menariknya ke belakang sejurus mangsa dirempuh kereta yang mengundur," ujar pemilik kedai menjual makanan haiwan, Aniq Akhmal Abu Naip, 33.

Dalam kejadian jam 6.40 petang kelmarin, mangsa berusia lima tahun dirempuh kereta yang mengundur mendadak ketika mangsa berada di hadapan premis di di Jalan Eco Grandeur 1/8, Bandar Puncak Alam, di sini.

Kejadian berlaku ketika seorang pemandu kereta lelaki berusia 30-an mengundur kereta dalam keadaan laju ketika mahu memasuki petak parkir.

Aniq Akhmal berkata, suasana di lokasi ketika itu menjadi huru-hara susulan kemalangan itu yang memecahkan pintu utama premis.

"Ketika kejadian, ibu kanak-kanak perempuan itu tiada di lokasi kerana membeli barang di sebuah kedai serbaneka berhampiran.

"Dia tidak tahu apa yang terjadi sehinggalah dimaklumkan kemalangan menimpa anaknya," katanya ketika dihubungi tadi.

Menurutnya, dia hanya mengetahui kemalangan itu selepas dihubungi kakitangannya.

"Saya tiada di kedai kerana mengambil anak lelaki berusia enam tahun di tadika. Bagaimanapun saya bersyukur nyawa mangsa terselamat walaupun mengalami kecederaan.

"Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Universiti Tekonlogi Mara (UiTM) Puncak Alam untuk menerima rawatan," katanya.

Sementara itu dia turut bersimpati dengan pemandu kereta terbabit yang diuji dengan pelbagai dugaan.

"Pemandu kereta lelaki itu memberitahu rumahnya di EcoWorld terbakar minggu lalu. Ramai yang menghentam pemandu kereta di laman sosial namun kita tiada di tempatnya.

"Saya turut menghubungi ahli keluarga mangsa dan bertanyakan khabar. Namun kanak-kanak perempuan itu masih lagi trauma. Mohon masyarakat di luar sana berhenti menyebarkan hantaran palsu dan spekulasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2023 @ 5:08 PM