GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Juwan Riduan


Penampang: Kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut selepas dirempuh pacuan empat roda di pekan Dongongon, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.50 tengah hari itu, mangsa dikatakan makan bersama ibunya di sebuah kedai makan berhampiran lokasi kejadian.

Bagaimanapun, mangsa tanpa disedari meluru keluar untuk melintasi jalan sebelum dirempuh kenderaan yang dipandu lelaki berusia 40 tahun.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pemandu kenderaan yang menyedari seperti terlanggar sesuatu memberhentikan kenderaan.

Menurutnya, turun dari keretanya, pemandu terbabit mendapati seorang kanak-kanak perempuan terbaring di jalan raya.

"Pengadu terus bergegas membawa mangsa ke Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH 1) untuk mendapatkan rawatan.

"Bagaimanapun, hospital mengesahkan mangsa meninggal dunia pada jam 4.10 petang ketika mendapatkan rawatan di wad kecemasan QEH 1," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Haris berkata, pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, Mohd Haris menasihati orang ramai supaya sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak semasa berada di tempat awam.

Katanya, ia kerana risiko kemalangan boleh berlaku bila-bila masa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 4:34 PM