GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan enam individu selepas disyaki mengemukakan tuntutan bayaran palsu bernilai lebih RM2.5 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan kemudahan sekolah di negeri ini.

Sumber berkata, kesemua suspek lelaki berusia 40 hingga 57 tahun itu ditahan dalam operasi berasingan bermula 5 petang semalam hingga jam 12 tengah malam tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor, di sini.

Menurutnya, pihaknya menahan pemilik syarikat berusia 52 tahun kerana dipercayai mengemukakan tuntutan bayaran palsu berjumlah lebih RM760,000 bagi kerja-kerja penyelenggaraan di sebuah sekolah di Batu Arang sedangkan kerja itu tidak mengikuti spesifikasi yang ditetapkan.

"Seorang kontraktor berusia 41 tahun pula ditahan sekitar 9.30 malam tadi kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM860,000 sedangkan kerja terbabit tidak dilaksanakan sepenuhnya.

"Manakala, empat lagi suspek ditahan kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu bernilai lebih RM870,000 membabitkan kerja-kerja penyelenggaraan sebuah sekolah di Semenyih sedangkan kerja berkenaan tidak dilaksanakan sepenuhnya," katanya.

Difahamkan, kesemua suspek melakukan kesalahan itu pada 2020.

Dalam pada itu, sumber memaklumkan seorang suspek berusia 57 tahun yang juga pemilik syarikat dilepaskan dengan jaminan SPRM atas faktor kesihatan.

Perintah reman selama lima hari bermula hari ini hingga 27 Mac itu dikeluarkan terhadap lima suspek terbabit oleh Majistret Nur Syuhada Abdullah di Mahkamah Majistret Shah Alam, di sini, selepas mendapatkan permohonan daripada SPRM.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2023 @ 12:51 PM