PENGURUS syarikat ketika hadir Mahkamah Majistret Bintulu. FOTO Ihsan SPRM
PENGURUS syarikat ketika hadir Mahkamah Majistret Bintulu. FOTO Ihsan SPRM
Mohd Roji Kawi


Kuching: Seorang pengurus syarikat ditahan reman empat hari bermula hari ini hingga 3 Februari kerana disyaki mengemukakan tuntutan mengandungi butiran matan palsu kepada sebuah agensi Kerajaan Persekutuan, dua tahun lalu.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Zuraini Ali Musa selepas menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Bintulu, hari ini

Menurut sumber, lelaki berusia lewat 50-an itu ditahan SPRM sekitar 12.45 tengah hari semalam, ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM cawangan Bintulu.

Ia bagi membantu siasatan tuntutan yang disyaki mengandungi butiran matan palsu bernilai kira-kira RM180,000.

Suspek disyaki membuat tuntutan palsu kepada sebuah agensi kerajaan cawangan Bintulu berkaitan satu program membabitkan tiga kawasan berbeza sekitar 2021.

Bagaimanapun, menurut sumber itu, siasatan awal mendapati tiada sebarang penghantaran dilakukan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sarawak, Mohd Zaki Hassan ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman suspek.

"Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2023 @ 1:44 PM