GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Polis menahan dua lelaki dipercayai terbabit dalam rusuhan bersenjata di kedai runcit di Bandar Utama Gua Musang, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, dalam kejadian 8.30 pagi itu, berlaku perselisihan faham apabila suspek mencuri satu karton air minuman daripada kedai runcit terbabit.

Katanya, kerana tidak berpuas hati akibat dimarahi, suspek memanggil rakannya seramai enam orang untuk menyerang mangsa.

"Enam orang rakan suspek yang bersenjatakan parang, batang besi dan kayu panjang datang menyerang menyebabkan kecederaan kepada mangsa.

"Selain itu, suspek juga turut merosakkan barangan kedai runcit terbabit," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, dua suspek berusia 30-an ditangkap 4.30 petang hari yang sama dan senjata yang digunakan turut dirampas.

Suspek turut didapat positif dadah dan polis masih berusaha untuk mengesan saki baki rakan suspek.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379 dan 148 Kanun Keseksaan kerana mencuri serta merusuh menggunakan senjata dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1962.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2023 @ 12:53 PM