LOKASI kejadian kes gaduh dan barang yang ditemui di lokasi.
LOKASI kejadian kes gaduh dan barang yang ditemui di lokasi.
Nor Amalina Alias


LELAKI berusia 36 tahun ditahan untuk membantu siasatan kes pergaduhan menyebabkan dua lelaki maut di hadapan stesen minyak di Batu 31, Jalan Kuala Krai-Gua Musang, Machang, Isnin lalu.

Suspek yang tidak bekerja adalah suspek kesembilan kes itu ditahan awal pagi Selasa lalu di daerah Pasir Puteh.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mat Piah berkata, suspek kini direman sehingga 4 Februari.

“Tangkapan ini menjadikan keseluruhan sembilan suspek ditahan bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal juga mendapati kebanyakan mereka ditahan mempunyai rekod jenayah lampau iaitu terbabit dalam jenayah curi dan dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah dan Pengerusi PERKEP Daerah Bachok di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok, hari ini.

Abdullah berkata, suspek terbaru juga mempunyai rekod kesalahan berkaitan jenayah mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 431(A) KK kerana mencuri kabel.

“Setakat ini, punca pergaduhan masih dikenal pasti akibat perasaan tidak puas hati berkaitan hal motosikal,” katanya.

Isnin lalu, dua lelaki berusia 39 dan 40 tahun maut dalam pergaduhan membabitkan dua kumpulan pada 12.30 tengah malam.

Susulan itu, polis menahan lapan individu termasuk dua beradik dan seorang anggota tentera untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Berita berkaitan

'Dua maut, tentera antara ditahan'

[UPDATE] Dah jadi kes bunuh

'Dua maut bergaduh'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 January 2020 @ 7:01 PM