GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Tujuh sekeluarga termasuk seorang wanita direman selama tujuh hari, bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang wanita warga Thailand di dalam longkang berhampiran ladang kelapa sawit di Jalan Kuala Berang, dekat Gua Musang, Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kelantan, Asisten Komisioner Wan Khairuddin Wan Idris berkata, mereka yang berusia di antara 21 hingga 64 tahun itu direman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, tujuh sekeluarga itu ditahan di Felda Chiku, Gua Musang, tengah hari semalam.

"Tujuh individu termasuk wanita berusia 44 tahun itu ditahan reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Motif kejadian masih dalam siasatan dan polis masih mencari saksi kejadian.

"Seorang lelaki berusia 64 tahun yang ditahan adalah majikan kepada mangsa yang bekerja di kedai runcit serta kedai makan berdekatan lokasi kejadian," katanya katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan, mayat seorang wanita warga Thailand ditemukan dalam longkang berhampiran ladang kelapa sawit di Jalan Kuala Berang, dekat Gua Musang, kejadian Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Sik Choon Foo berkata, mayat mangsa berusia 44 tahun dalam keadaan separuh bogel itu dijumpai orang awam yang melalui jalan berkenaan pada 3 petang.

Berita berkaitan

'Jumpa mayat wanita dalam longkang disiasat sebagai kes bunuh'

'Mayat wanita separuh bogel dalam longkang'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Oktober 2021 @ 7:28 PM