Raymond Goh
Raymond Goh
BERNAMA

Kuala Lumpur: Ahli keluarga penyampai berita Raymond Goh hari ini merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kerana keprihatinan baginda berdua tentang kesejahteraan Goh.

Isteri Goh, Faridah Teh dan keluarga dalam kenyataan berkata mereka memahami bahawa kesejahteraan Goh membimbangkan ramai pihak dan amat menghargai kasih sayang dan sokongan yang diberikan.

"Buat masa ini, keluarga memohon pemahaman, kesabaran dan rasa hormat terhadap keperluan privasi mereka ketika sedang mengharungi tempoh yang mencabar ini. Sebarang sokongan dalam ingatan dan doa sangat dihargai," menurut kenyataan itu.

Perjalanan Goh telah menyentuh hati ramai orang dan ahli keluarga akan berusaha memberikan maklumat terkini yang berkaitan semasa waktu sukar ini dan berterima kasih terhadap semua doa.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah mendoakan agar Goh dikurniakan kesembuhan, dalam hantaran menerusi Facebook Istana Negara.

Penyampai berita itu dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas diserang strok dan kini sedang menerima rawatan setelah dimasukkan ke sebuah hospital di Petaling Jaya, Selangor pada Rabu lalu.

Goh atau nama sebenarnya Mohd Zaman Goh memulakan kerjayanya sebagai penyampai berita menerusi 7 O'clock News sebelum beralih kepada slot berita Nightline di stesen televisyen berkenaan.

Beliau telah berkhidmat dalam dunia penyiaran lebih 30 tahun dan turut menjadi jurulatih untuk pengucapan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2023 @ 9:31 PM