BERNAMA

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada keluarga penyampai berita Nightline TV3 Allahyarham Raymond Goh atau Muhammad Zaman Goh, yang meninggal dunia pagi tadi.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau hari ini, Anwar mendoakan semoga keluarga Allahyarham tabah menghadapi dugaan itu.

"Dunia penyiaran akan merindui Allahyarham dan sudah pastinya juga, jasa beliau akan terus dikenang buat selama-lamanya. Al-Fatihah," katanya.

Terdahulu, penyampai berita veteran itu dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas diserang angin ahmar dan dimasukkan ke hospital di Petaling Jaya, Selangor pada 30 Ogos lalu.

Allahyarham yang telah berkhidmat dalam dunia penyiaran lebih 30 tahun itu, memulakan kerjaya sebagai penyampai berita di 7 o'clock news dan kemudian beralih kepada Nightline di stesen televisyen berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2023 @ 3:09 PM