ZETI (tengah) hadir bagi sambung bicara kes 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Saifullizan Tamadi
ZETI (tengah) hadir bagi sambung bicara kes 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Saifullizan Tamadi
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low tidak pernah melawatnya atau memasak pasta untuk keluarganya di kediaman mereka di Bukit Tunku, di sini.

Saksi pendakwaan ke-46 itu menafikan dakwaan peguam utama Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan bekas perdana menteri itu membabitkan penyelewengan dana RM2.3 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Muhammad Shafee: Ketika kamu menjadi Gabenor, di manakah kediaman kamu?
Zeti: Jalan Tunku Puteri, Bukit Tunku
Muhammad Shafee: Itu tidak jauh dari rumah Najib?
Zeti: Ya
Muhammad Shafee: Kebiasaan Jho Low ada datang ke rumah kamu pada hujung minggu untuk memasak pasta untuk keluarga kamu?
Zeti: Tidak masuk akal, ia tidak pernah berlaku.

Saksi berusia 76 tahun itu turut menafikan Jho Low rapat dengan keluarganya melalui suaminya Datuk Dr Tawfiq Ayman kerana kedua-duanya adalah alumni Sekolah Perniagaan Wharton.

Beliau juga menambah bahawa dia tidak pernah menerima hadiah mahal daripada Jho Low sepanjang hidupnya.

Muhammad Shafee: Ada satu ketika kamu bertemu PM (Najib) dan kamu berkata bahawa Jho Low sangat suka memberi hadiah mahal dan kamu kata: 'Saya menerimanya tetapi saya memulangkannya kembali.'
Zeti: Saya tidak pernah menerima sebarang hadiah daripada sesiapa, termasuk Jho Low.
Muhammad Shafee: Adakah kamu mengatakan ini kepada PM (Najib)?
Zeti: Saya tidak ingat sebarang perbincangan berkaitan hadiah.
Muhammad Shafee: Adakah kamu masih ingat perbincangan tentang Jho Low dengan Najib?
Zeti: Saya tidak ingat.

Sementara itu, Zeti juga menafikan dakwaan yang dibuat oleh bekas bank Goldman Sachs, Tim Leissner ketika perbicaraan 1MDB Roger Ng di mahkamah New York, Amerika Syarikat, di mana Leissner mendakwa suami Zeti, Dr Tawfiq menerima rasuah, jadi AS$1 bilion yang dimaksudkan untuk Usahasama 1MDB-Petrosaudi untuk meninggalkan negara tanpa kelulusan BNM.

Muhammad Shafee ketika membaca transkrip perbicaraan Ng di mahkamah Amerika Syarikat (AS) berkata, Leissner memberi keterangan bahawa BNM perlu meluluskan AS$1 bilion untuk meninggalkan Malaysia kerana pada 2009, Malaysia masih mempunyai kawalan modal.

"AS$1 bilion disalurkan keluar dari Malaysia (ke akaun syarikat JV di luar negara) dan ia dilakukan kerana suami kepada gabenor Zeti ketika itu di BNM telah menerima rasuah untuk menjayakannya.

"Dalam sekelip mata, wang itu dipindahkan, yang tidak pernah berlaku sebelum ini pada masa itu. Tiada kelulusan diperoleh secepat itu dengan BNM," dakwa Leissner.

Muhammad Shafee: Tan Sri, kamu mesti pernah dengar mengenai perkara ini.Zeti: Dia (Tawfiq) berkata dia tidak pernah menerima sebarang rasuah sepanjang hidupnya. Dia juga berkata, dia tidak pernah bertemu dua orang ini (Ng dan Leissner).
Muhammad Shafee: Adakah BNM atau kamu membuat sebarang kenyataan untuk menyangkal perkara ini?
Zeti: Kami tidak berbuat demikian kerana kami diberitahu ia akan menjejaskan kes (perbicaraan Ng).

Bagaimanapun, Zeti berkata, suaminya membuat kenyataan berhubung dakwaan itu kerana ia bersifat peribadi kepadanya.

Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2023 @ 1:50 PM