Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Ahli perniagaan yang dikehendaki pihak berkuasa, Low Taek Jho atau Jho Low didakwa kerap mengunjungi kediaman bekas Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Peguam utama Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, beliau mendapat tahu mengenai kehadiran Jho Low di rumah Zeti daripada sumber yang boleh dipercayai, ketika menyoal balas saksi ke-39 pendakwaan, bekas Pengarah Urusan Kumpulan Ambank, Cheah Tek Kuang.

Pada ketika itu, Muhammad Shafee bertanyakan kepada Cheah sama ada beliau pernah melihat Jho Low di kediaman terbabit.

Cheah sebelum itu ketika menjawab soalan Muhammad Shafee, memberitahu mahkamah bahawa beliau hanya sekali berkunjung ke kediaman Zeti pada majlis sambutan Hari Raya.

Ketika disoal sama ada pernah melihat Jho Low di rumah itu, saksi menjawab, "tidak, tidak."

Muhammad Shafee: Adakah kamu pasti?

Cheah: Sangat pasti

Muhammad Shafee: Ok. Saya tanya kamu kerana mencadangkan dan saya mendapat maklumat serta bukti bahawa Jho Low kerap mengunjungi kediaman Zeti. Adakah kamu tahu mengenai perkara ini?

Cheah: Saya tidak tahu langsung

Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram kemudian bangun dan memaklumkan bahawa pihak pendakwaan akan memanggil Zeti untuk memberikan keterangan.

"Kami akan memanggil Zeti (untuk memberikan keterangan), jadi persoalan ini boleh dibangkitkan kepadanya. Beliau (Zeti) ada jawapannya, kami akan panggil dia," katanya.

Minggu lalu, Cheah memberitahu Mahkamah Tinggi, bahawa Zeti mengetahui akaun Najib akan menerima sumbangan AS$100 juta daripada Arab Saudi pada 2011.

Beliau berkata, dalam pertemuan rahsia empat mata dengan Zeti, beliau (Zeti) mengambil maklum mengenai perkara itu dan memintanya supaya ia perlu dilakukan mengikut peraturan bank dan BNM sedia ada.

Katanya, mereka berdua sahaja berbincang mengenai pembukaan akaun Najib di Ambank dan penerimaan wang daripada Arab Saudi kerana ia adalah rahsia dan membabitkan kepentingan Perdana Menteri.

Cheah memberikan keterangan terhadap Najib, 69, yang berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

LOW Taek Jho. - Foto AFP
LOW Taek Jho. - Foto AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2022 @ 5:14 PM