YANG Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz (kanan) mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260 di Istana Negara, semalam.  FOTO Bernama
YANG Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz (kanan) mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260 di Istana Negara, semalam. FOTO Bernama
Rohaniza Idris


Kuala Lumpur: Pengerusi Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260 Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menyeru kerajaan baharu dan pemimpin berhenti membangkitkan isu perkauman atau agama dengan tujuan untuk menghasut masyarakat.

Tuanku Muhriz turut menggesa agar kerajaan baharu menggunakan peluang yang ada sebaik-baiknya untuk memacu negara ke tahap yang lebih tinggi.

"Beta menyeru kepada kerajaan baharu untuk memupuk semangat kebersamaan atau spirit of togetherness dalam kalangan rakyat Malaysia yang mempunyai pelbagai agama, bangsa dan budaya," titah baginda dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-26 di Istana Negara, yang berakhir hari ini.

Turut berangkat Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Berangkat sama, Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin serta Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Sementara Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah dan Kelantan diwakili Tengku Mahkota Kelantan Dr Tengku Muhammad Faiz Petra.

Mesyuarat itu juga turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani turut sama hadir ke Istana Negara bagi menyertai mesyuarat itu.

Tuanku Muhriz turut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua yang telah memenangi kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan pilihan raya di beberapa buah negeri baru-baru ini.

"Beta juga mengucapkan tahniah kepada mereka yang baru dilantik untuk menyandang jawatan dalam kerajaan iaitu Perdana Menteri dan Menteri Besar - Menteri Besar negeri yang berkenaan.

" Jawatan-jawatan yang membawa tanggungjawab yang besar ini memberi peluang kepada mereka yang dilantik untuk memimpin negara ke hadapan," titahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2022 @ 5:47 PM