TUANKU Muhriz Tuanku Munawir. FOTO arkib NSTP
TUANKU Muhriz Tuanku Munawir. FOTO arkib NSTP
Mohd Amin Jalil


Kuala Pilah: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menggesa rakyat pelbagai kaum, agama dan budaya sentiasa mewujudkan permuafakatan serta mengetepikan perbezaan demi mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan negara.

Baginda bertitah, penularan wabak pandemik Covid-19 yang melanda negara menyebabkan sambutan Hari Keputeraan tidak dapat diteruskan seperti kelaziman.

Titahnya, berbanding dengan negara-negara yang dianggap lebih maju dari segi kepakaran dan sistem kesihatan, kejayaan pengawalan penularan wabak Covid-19 di negara ini amat mengagumkan.

"Kejayaan ini dicapai melalui kepimpinan agensi kesihatan yang telah mengatur perancangan dan strategi berkesan dalam memastikan penularan wabak ini dapatdibendung.

"Kita semua seharusnya menghargai dan berterima kasih atas tindakan segera mereka mengetuai usaha kawalan wabak ini yang dilaksanakan semua jentera kerajaan berkaitan," titah baginda dalam satu kenyataan dikeluarkan di Istana Besar Seri Menanti, sempena Hari Keputeraan Ke-73, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, hari ini.

Baginda turut bangga dan amat menghargai komitmen serta dedikasi ditunjukkan semua petugas barisan hadapan kesihatan, anggota polis dan tentera serta sukarelawan daripada pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu yang memberi bantuan.

Titah baginda, kerajaan melaksanakan beberapa inisiatif untuk meringankan bebanan rakyat yang terkesan daripada impak pandemik ini menerusi bantuan kepada aktiviti ekonomi harian mereka.

"Beta yakin dan percaya, kerajaan sentiasa meletakkan fokus dan keutamaan dalam memastikan kesejahteraan dan keselamatan rakyat jelata terjamin dan terbela," titahnya.

Baginda menyeru agar kepimpinan kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri serta rakyat keseluruhannya bersatu, bagi mempertahan dan melindungi negara ini.

"Kepentingan kestabilan negara perlu diutamakan berbanding kecelaruan percaturan politik semasa yang meresahkan dan tidak berkesudahan.

"Sebagai pemimpin yang beramanah, berikanlah contoh teladan yang baik pada setiap masa dengan saling bergandingan dalam melahirkan buah fikiran yang bermanfaat demi kemaslahatan dan kepentingan rakyat, bukannya untuk kepentingan sempit kelompok tertentu," titahnya.

Tuanku Muhriz menggesa supaya kerajaan teguh mengemudi pentadbiran dan kreatif mencorakkan strategi yang lebih dinamik dalam pelaksanaan pembangunan negeri ini ke arah pemulihan ekonomi.

Titahnya, usaha itu tidak hanya menuntut tanggungjawab di pihak kerajaan semata-mata tetapi perlu turut dipikul bersama segenap lapisan masyarakat termasuk pihak swasta dalam menggembleng tenaga dan khidmat demi kesinambungan kemajuan Negeri Sembilan.

Baginda juga menyeru kepada semua agar menjadikan kebersihan sebagai satu budaya.

"Pemerhatian Beta mendapati segelintir masyarakat memandang remeh akan kepentingan kebersihan dengan membuang sampah di tempat yang tidak sepatutnya.

"Mutu sistem pengurusan sampah hendaklah ditambah baik tetapi ia bukan kaedah penyelesaian sebenar kerana yang lebih penting ialah sikap dan pendirian masyarakat terhadap kebersihan.

"Pada tahun lalu, Beta telah melancarkan Kempen Negeri Sembilan Bersih bertemakan 'Jangan Buang Sampah Merata-rata' yang bertujuan menyedarkan masyarakat akan pentingnya amalan kebersihan.

"Pendedahan budaya kebersihan perlu dimulakan pada kanak-kanak seawal pendidikan prasekolah dan di rumah, kemudian ia diteruskan sehingga mereka menamatkan pelajaran," titah baginda.

Tuanku Muhriz turut bangga dengan tahap perpaduan masyarakat yang saling membantu ketika banjir melanda beberapa daerah di negeri ini, baru-baru ini.

"Tindakan pantas kerajaan negeri serta agensi yang terlibat dengan kerjasama masyarakat yang prihatin, dapat memastikan mangsa banjir diberikan bantuan segera dan sokongan yang sebaiknya," titahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 3:28 PM