Datuk Seri Mustapa Mohamed. FOTO Ihsan FB
Datuk Seri Mustapa Mohamed. FOTO Ihsan FB
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Lanas Datuk Seri Mustapa Mohamed mengesahkan perkhidmatan beliau kepada rakyat Jeli secara rasminya berakhir, semalam.

Beliau berkata, dengan selesainya Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) November tahun lalu, perkhidmatannya sebagai wakil rakyat sejak 1994 itu berakhir.

"Ambo (saya) ucapkan terima kasih kepada semua rakyat Jeli, rakan-rakan dari seluruh Kelantan dan seluruh negara tanpa mengira fahaman politik termasuk perantau, pegawai Kerajaan Pusat dan negeri, badan bukan kerajaan, tokoh agama, usahawan, pemimpin masyarakat dan masyarakat yang membantu dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

"Saya berikhtiar dan buat yang terbaik kepada semua. Alhamdulillah melalui tuisyen Darul Falah, pondok moden, masjid, surau, institusi pendidikan, program menambah pendapatan seperti ekonomi digital, promosi pelancongan, projek infrastruktur serta projek kecil dan besar," katanya menerusi kenyataan di laman Facebooknya, hari ini.

Bekas Ahli Parlimen Jeli itu turut mengucapkan tahniah kepada semua wakil rakyat yang terpilih untuk berbakti kepada agama, bangsa, negara dan rakyat Jeli.

"Saya menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf, atas segala kelemahan dan kesilapan.

"Terima kasih dari saya dan isteri atas bantuan, kerjasama dan kasih sayang serta persahabatan. Sokongan dan kerjasama semua akan kami kenang sehingga akhir hayat.

"Semoga Allah SWT permudahkan semua urusan wakil rakyat baharu dan mereka cakna dengan kepentingan rakyat Jeli supaya terus terbela," katanya.

Mustapa yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) mempertahankan kerusi berkenaan selama tiga penggal iaitu pada PRU-11, PRU-13 dan PRU-14.

Pada PRU15 lalu Mustapa mengumumkan menarik diri daripada mempertahankan kerusi yang diwakilinya sejak 1995 atas faktor kesihatan dan nasihat doktor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2023 @ 7:19 PM