MUSTAPA (tengah) bersama Adhan (kanan) dan Aziz berjaya mengekalkan kerusi masing masing. FOTO Fathil Asri
MUSTAPA (tengah) bersama Adhan (kanan) dan Aziz berjaya mengekalkan kerusi masing masing. FOTO Fathil Asri
Sharifah Mahsinah Syed Abdullah dan Mohamad Zulhairie Manzaidi


BARISAN Nasional (BN) Kelantan berjaya mengekalkan kemenangan di kerusi Parlimen Jeli dan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN).

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Zulkifle Ab Rahman di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Jeli, pada 12.30 tengah malam

Zulkifle berkata, calon BN Datuk Seri Mustapa Mohamed menang di kerusi Parlimen Jeli dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Lanas.

Mustapa yang juga Pengerusi BN Kelantan mendapat 21,665 undi menewaskan calon PKR Azran Deraman yang mendapat 2,078 undi dan Mohamad Hamid (PAS) yang mendapat 15,018 undi dengan majoriti 6,647 undi.

Katanya, Mustapa juga menang di DUN Air Lanas apabila memperoleh 7,243 undi berbanding calon PAS Datuk Abdullah Ya'kub yang mendapat 6,884 undi dan calon pakatan pembangkang, Dr Aminuddin Yaacob yang berjaya meraih 608 undi.

Selain itu, BN turut memenangi dua kerusi DUN iaitu Bukit Bunga dan Kuala Balah.

“Calon BN Bukit Bunga Datuk Mohd Adhan Kechik memperoleh 70,68 undi menewaskan calon PAS Ramzi Mohd Yusoff yang mendapat 5,987 undi dan Asran Alias dari PKR dengan 659 undi,” katanya.

Manakala, Datuk Abdul Aziz Derashid mempertahankan kerusi DUN Kuala Balah dengan majoriti 878 undi apabila memperoleh 4,714 undi berbanding calon PAS Mohd Apandi Mohamad yang meraih 4,714 undi.

Sementara itu, Mustapa berterima kasih kepada pengundi di Parlimen Jeli kerana masih mempercayai BN.

“Rakyat masih memberi kepercayaan kepada kami untuk selama lima tahun lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mei 2018 @ 2:05 AM