Keadaan kenderaan yang terbabit kemalangan di KM 73 Jalan Gua Musang-Lojing, di sini, semalam. FOTO Ihsan Polis
Keadaan kenderaan yang terbabit kemalangan di KM 73 Jalan Gua Musang-Lojing, di sini, semalam. FOTO Ihsan Polis
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Dua beranak maut apabila kenderaan mereka terbabas ke dalam parit dan melanggar tiang elektrik sebelum berpusing beberapa kali di Kilometer 73 Jalan Gua Musang-Lojing, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 12.09 tengah malam itu, mangsa Normardiah Taha, 45, yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CR-V dan ibunya, Fatimah Sa'aid, 67, maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kenderaan mangsa hilang kawalan sebelum terbabas.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari arah Ipoh, Perak menuju ke Kuala Terengganu.

"Apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan semasa mengambil selekoh dan terbabas ke dalam parit sebelah kiri jalan serta melanggar sebatang tiang elektrik.

"Kenderaan mangsa berpusing beberapa kali menyebabkan ibu mangsa tercampak keluar dari kenderaan. Dua beranak itu disahkan maut di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan, di sini.

Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian boleh menyalurkannya dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di talian 09-9121222 bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2023 @ 1:18 PM