Ramli Ibrahim


Gua Musang: Laluan di Kilometer 92 Jalan Gua Musang-Lojing, dekat Lojing, di sini, ditutup kepada semua kenderaan akibat tanah runtuh berikutan hujan lebat, hari ini.

Dalam kejadian 3.30 petang, jalan dua lorong khususnya menghala ke Lojing sepanjang dua kilometer itu turut dipenuhi bongkah batu, kayu dan lumpur tebal.

Difahamkan, puluhan kenderaan sama ada dari Gua Musang ke Lojing dan sebaliknya terkandas di lokasi kejadian sebelum pengguna terbabit berpatah balik.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gua Musang, Deputi Superintendan Sik Choon Foo berkata, dalam kejadian itu dua pacuan empat roda turut terbalik akibat dihanyutkan lumpur.

Bagaimanapun, katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku kerana pemandu kedua-dua kenderaan itu sempat menyelamatkan diri.

"Sebuah kenderaan terbabit yang menghala ke Gua Musang rosak teruk dan tersangkut pada besi penghadang jalan hingga hampir menjunam ke gaung.

"Berikutan itu, lokasi kejadian tidak boleh dilalui semua kenderaan sebelum kerja-kerja pembersihan dilakukan dengan segera," katanya ketika dihubungi, petang tadi.

Sik berkata, kejadian itu pertama kali berlaku membabitkan jalan sepanjang dua kilometer yang turut dipenuhi batu-batu besar.

Katanya, selain itu, terdapat juga kayu dan lumpur yang memenuhi sepanjang lokasi kerana terjatuh daripada bukit yang runtuh terbabit.

"Polis berharap pengguna jalan itu mematuhi arahan dikeluarkan supaya mereka tidak berdepan bahaya mahupun terperangkap di lokasi berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2021 @ 10:12 PM
BUKIT runtuh menyebabkan jalan dipenuhi bongkah batu, kayu dan lumpur sejauh dua kilometer dekat Lojing, petang tadi. FOTO RAMLI IBRAHIM
BUKIT runtuh menyebabkan jalan dipenuhi bongkah batu, kayu dan lumpur sejauh dua kilometer dekat Lojing, petang tadi. FOTO RAMLI IBRAHIM